Mangsa kebakaran Kampung Oh bakal terima rumah PPRT 

Azman ketika melawat tempat kejadian dua beranak yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Oh, Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dua beranak yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Oh, Besut bakal menerima sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Pekan Jabi sebagai menggantikan kediaman mereka yang musnah dalam kejadian itu.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, penyediaan rumah PPRT itu sedang diuruskan di atas tanah kerajaan bagi memastikan mangsa mempunyai tempat tinggal baharu yang lebih selamat.

Menurut beliau, rumah asal mangsa tidak dapat dibina semula di tapak sama kerana ia terletak di atas tanah rizab parit milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Sebagai alternatif, kita sedang menguruskan sebuah rumah PPRT di atas sebidang tanah kerajaan di Pekan Jabi untuk tempat tinggal mangsa.

“Rumah baharu tidak boleh dibina di tapak asal kerana status tanah tersebut adalah rizab parit JPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Fauziah Ali, 75, dan anaknya, Azli Abu, 45, mengalami kecederaan akibat melecur dan kini masih menerima rawatan di hospital.

Fauziah yang juga dikenali sebagai Kak Yah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, manakala anaknya menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dengan kesan melecur yang agak parah.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara sepanjang tempoh rawatan.

“Buat masa ini, tumpuan adalah untuk kebajikan mangsa yang sedang menerima rawatan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Mustafa Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.14 pagi sebelum sebuah jentera bersama lapan anggota digegaskan ke lokasi.

Setiba di lokasi kejadian, didapati rumah jenis separuh kekal itu terbakar 80 peratus dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 7.28 pagi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa melecur sebanyak 45 peratus manakala punca serta anggaran kerugian sedang disiasat. – HARAKAHDAILY 6/4/2026

- Advertisement -