
KAMPAR: Dato’ Seri Anwar Ibrahim antara yang paling lantang mengkritik usaha Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan krisis COVID-19 dahulu.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad bagaimanapun melihat Anwar setelah menjadi Perdana Menteri, tidak boleh menerima kritikan terhadap kerajaannya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu dilaporkan media tempatan berkata, teguran berkaitan pengurusan ekonomi negara perlu berasaskan ilmu dan fakta tepat, bukan kritikan kosong.
“Macam mana dulu zaman Perikatan Nasional awak gasak habis-habisan pasal COVID-19. COVID-19 isu krisis kesihatan, sekarang ini krisis ekonomi,” bidas Idris yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Jamuan Terbuka Hari Raya Aidilfitri PAS Perak di Kompleks Pendidikan Islam Darul Muttaqin, Malim Nawar, di sini.
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, PAS menasihati Anwar Ibrahim agar tidak bersikap emosi dalam menangani kritikan pembangkang berhubung isu semasa negara.
Menurutnya lagi, pemimpin kerajaan perlu memastikan kenyataan yang dibuat kekal konsisten dan selari dengan pendirian terdahulu, khususnya dalam hal ekonomi serta pengurusan negara.
Beliau menjelaskan, pembangkang sebelum ini telah lebih awal menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam menghadapi krisis melibatkan ekonomi, keselamatan dan kesihatan.
“Ini isu bersama, bukan isu politik semata-mata. Tetapi yang menjadi persoalan apabila kenyataan yang dibuat sekarang berbeza dengan apa yang pernah disebut sebelum ini.
“Jadi, dia (Anwar) ini janganlah emosi kan? Nampak macam emosi, steadylah kan?” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menambah nasihat.
Mengulas lanjut, Ustaz Idris menegaskan, PAS tidak menolak kemungkinan untuk menghadiri sebarang pertemuan yang dianjurkan kerajaan bagi membincangkan isu berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendekatan lebih menyeluruh seperti Sidang Khas Parlimen perlu dipertimbangkan supaya kesemua 222 Ahli Parlimen dapat memberi sumbangan idea secara konstruktif.
Selain itu, Idris menekankan isu ketelusan dalam pelaksanaan inisiatif kerajaan, termasuk program Madani Mart, yang dilihat menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
“Walaupun inisiatif itu disambut baik oleh rakyat, aspek pengurusan dan pelaksanaannya perlu dijalankan secara telus bagi mengelakkan persepsi negatif,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2026




















