
TANAH MERAH: Orang ramai diseru agar tidak membuang sisa elektronik atau e-waste secara tidak terkawal khususnya ketika musim kemarau yang panas dan kering bagi mengelakkan risiko kebakaran serta pencemaran alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, barangan seperti bateri lama, telefon rosak, komputer, televisyen, wayar elektrik dan pelbagai peralatan elektronik mengandungi bahan mudah terbakar serta bahan kimia berbahaya.
Menurutnya, jika buangan sisa (e-waste) dibuang di kawasan terbuka, longgokan sampah atau tapak pelupusan haram, ia berpotensi mencetuskan kebakaran akibat haba tinggi, litar pintas bateri atau tindak balas kimia yang berlaku secara spontan.
“Keadaan ini akhirnya boleh menyebabkan kebakaran yang bukan sahaja merosakkan harta benda, malah membahayakan nyawa serta mencemarkan alam sekitar,” katanya dalam laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian susulan kejadian kebakaran yang berlaku di sebahagian kecil tapak pelupusan sisa pepejal di Bukit Che Ros, di sini, yang masih dalam usaha pemadaman oleh pasukan bomba dan jentera pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau menyatakan bahawa tapak pelupusan seluas 48 ekar itu merupakan lokasi utama pembuangan sisa pepejal bagi Majlis Daerah Tanah Merah dan Majlis Daerah Machang.
“Setakat ini, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada cetusan api melibatkan sisa e-waste seperti power bank, namun pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Orang ramai juga disaran untuk bersama-sama berdoa agar asap daripada kebakaran tersebut tidak menjejaskan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Tanah Merah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2026




















