
PENGKALAN CHEPA: Seramai lapan keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Cabang 3 Kedai Buloh menerima bantuan awal sebanyak RM1,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Dato’ Dr Izani Husin berkata, sumbangan peribadi itu disampaikan sebagai tanda prihatin terhadap nasib mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, kebakaran yang berlaku sekitar jam 10 malam itu melibatkan lapan buah rumah.
“Ketika saya turun meninjau lokasi kebakaran semalam, keadaan masih huru-hara dan penuh kekalutan menyebabkan saya tidak berkesempatan bertemu semua mangsa.
“Saya jemput kesemua lapan pemilik rumah yang terjejas dalam suasana lebih tenang untuk bertanya khabar, mendengar luahan hati mereka serta membantu mengemaskini dokumen yang diperlukan,” katanya yang juga exco Kerajaan negeri.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terlibat dan menegaskan bahawa ujian tersebut memerlukan ketabahan serta kesabaran.
Tambahnya, walaupun kehilangan dialami tidak dapat diganti, namun setiap ujian pasti mempunyai hikmah dan ganjaran lebih baik dijanjikan kepada mereka yang bersabar.
“Saya berpesan agar semua mangsa terus kuat dan tabah menghadapi dugaan ini,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak bomba atas tindakan pantas mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kita akan terus berusaha untuk menyantuni semua mangsa yang terlibat,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru masyarakat agar bersama-sama menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa melalui akaun Tabung Amal Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang Bank Islam Malaysia Berhad 03036010032344. – HARAKAHDAILY 6/4/2026




















