
KUALA LUMPUR: Sidang Parlimen Khas perlu diadakan segera bagi membentangkan semua data khususnya berkaitan bekalan tenaga dan bahan api yang menjadi keperluan rakyat, supaya semua pihak dapat membuat pertimbangan secara bersama.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar menegaskan, hak Semenanjung Malaysia dalam penilaian harga minyak juga perlu dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan, selaras dengan amalan di Sabah dan Sarawak.
“Kami bimbang data yang dikemukakan seolah-olah disembunyikan untuk memihak kepada kepentingan tertentu, walaupun tidak menafikan keperluan di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas Himpunan Bantah Harga Minyak yang berlangsung di hadapan Sogo, di sini, semalam.
Beliau menggesa kerajaan bersikap telus dan bertanggungjawab terhadap isu yang memberi impak besar kepada rakyat susulan konflik dan krisis yang berlaku di peringkat antarabangsa itu turut memberi kesan besar kepada negara.
“Kami memahami bahawa kerajaan perlu membuat keputusan sukar, namun keputusan itu seharusnya membawa manfaat kepada rakyat,” jelasnya yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat.
Nadzir turut menekankan beberapa pertimbangan penting yang perlu diambil kira oleh kerajaan, termasuk kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada Februari bahawa bekalan minyak negara mampu bertahan sehingga Mei.
Beliau turut merujuk kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, bahawa bekalan boleh bertahan sehingga enam bulan.
“Hasil semakan silang yang dilakukan mendapati bekalan minyak yang berada dalam pasaran hari ini adalah stok terakhir yang telah berada dalam kantung minyak negara sejak Februari, iaitu sebelum krisis dan sebelum harga naik.
“Penggunaan dan pengedaran minyak hari ini adalah daripada bekalan stok sebelum krisis berlaku. Namun kali ini, harga minyak naik berterusan dan memberi kesan besar kepada rakyat,” persoalnya terhadap kewajaran kenaikan berkali-kali itu.
Bagi menangani isu ini, beliau mencadangkan Sidang Parlimen khas diadakan dengan segera bagi membentangkan semua data berkaitan, supaya semua pihak dapat membuat pertimbangan secara bersama.
“Tindakan ini diharap dapat mengelakkan persepsi bahawa hanya terdapat satu ‘hero’ yang sesuka hati melabel rakyat sebagai bebal atau buta huruf semata-mata untuk kepentingan politik.
“Kalau zaman pandemik COVID-19 dahulu, dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka boleh berdemonstrasi untuk paksa buka sidang.
“Kali ini negara kita tidak menghadapi sebarang krisis atau wabak virus. Jangan jadi pengecut, ataupun jangan jadi bebal, wahai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” tegas Nadzir.
Terdahulu, harga minyak diesel di Malaysia meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan harga minyak global yang tidak stabil dan kos bahan mentah tinggi.
Diesel digunakan bukan sahaja oleh kenderaan tetapi juga oleh sektor pengangkutan dan industri, sekali gus memberi kesan terus kepada kos sara hidup rakyat dan harga barang. – HARAKAHDAILY 6/4/2026











