
KOTA BHARU: Sebanyak 1,418 kes kebakaran direkodkan di seluruh Kelantan bermula Januari hingga 29 Mac 2026, dengan majoritinya melibatkan kebakaran terbuka yang semakin membimbangkan susulan cuaca kering.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,089 kes adalah kebakaran terbuka melibatkan keluasan kira-kira 4,000 ekar.
“Kes kebakaran terbuka ini merangkumi 880 kes kebakaran belukar, 114 kes kebakaran hutan, 70 kes kebakaran sampah dan 25 kes kebakaran ladang di seluruh negeri.
“Daerah Kota Bharu mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 400 kes, diikuti Bachok dengan 278 kes dan Pasir Mas sebanyak 173 kes,” katanya dalam laman Facebook beliau.
Menurutnya, semua 22 balai bomba di negeri ini telah diarahkan supaya bersiap siaga bagi menghadapi musim kemarau yang sedang melanda ketika ini.
“Operasi melibatkan 28 jentera bomba, tujuh ‘water tanker’ berkapasiti 10,000 dan 20,000 liter serta sebuah jentera jenis hidro-sub turut digerakkan bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.
“Selain itu, pemantauan rapi turut dijalankan khususnya di kawasan tanah gambut seluas kira-kira 19,000 ekar yang banyak tertumpu di Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Tok Bali dan Pasir Mas,” jelasnya.
Tambah beliau, peningkatan ketara kes kebakaran terbuka direkodkan pada Mac iaitu sebanyak 64 peratus daripada jumlah keseluruhan panggilan yang diterima tahun ini.
Beliau berkata, trend itu dijangka berterusan susulan ramalan cuaca kering oleh Jabatan Meteorologi sehingga pertengahan April dan berkemungkinan berlanjutan sehingga Jun 2026.
“Maklumat berkaitan pembakaran terbuka telah disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tindakan tegas termasuk denda, kompaun atau penjara boleh dikenakan terhadap pelaku serta pemilik tanah yang terlibat,” ujarnya.
Beliau menyatakan juga, walaupun keadaan masih terkawal, pihak bomba berdepan beberapa kekangan termasuk sumber air yang terhad serta kesukaran untuk mengakses lokasi kejadian.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa peka terhadap keadaan cuaca semasa bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih serius. – HARAKAHDAILY 30/3/2026




















