‘Tragedi jalan raya, tiada lagi kompromi pemandu mabuk’

Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah pemandu mabuk susulan satu lagi tragedi yang meragut nyawa individu tidak berdosa.

- Advertisement -

Beliau berkata, kejadian seumpama ini bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa.

“Berapa ramai lagi perlu terkorban? Berapa banyak lagi keluarga perlu menangis? Cukuplah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemandu mabuk bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjadi ancaman serius kepada keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sehubungan itu, Khairil Nizam yang juga merupakan Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional menggesa kerajaan memperkasa pelaksanaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44 dan 45A, dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

“Antara cadangan dikemukakan termasuk pengharaman memandu seumur hidup (blacklist), hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

“Dalam soal nyawa rakyat, tiada ruang untuk kompromi. Tiada lagi toleransi terhadap mereka yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk,” tegasnya.

Beliau turut menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, agar mengambil tindakan segera bagi memastikan undang-undang sedia ada dikuatkuasakan secara lebih tegas dan konsisten.

Katanya, tragedi itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta keperluan memperketatkan penguatkuasaan bagi melindungi nyawa pengguna jalan raya.

Terdahulu, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu individu dipercayai mabuk di Jalan Raya Barat pada Ahad.

Berdasarkan rakaman tular di media sosial, sebuah kereta jenis Honda City dipandu laju memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.

Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa, Amirul Hafiz Omar, yang berusia lingkungan 30-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dalam kejadian sekitar jam 11.40 pagi itu, Allahyarham dilaporkan melambung tinggi sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah kereta Perodua Myvi. – HARAKAHDAILY 30/3/2026

- Advertisement -