Isu baja: Kenyataan ‘bekalan makanan terjamin’ tak cukup!

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lonjakan harga baja bukan isu bermusim, tetapi isyarat bahawa sistem makanan Malaysia perlu diperkukuh sebagai agenda keselamatan ekonomi. 

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Pertanian dan Kelestarian Alam Sekitar PAS (LATAS), Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius laporan berkenaan isu semasa yang bakal memberi kesan kepada sektor pertanian negara. 

Menurutnya, apa yang berlaku pada ketika ini di Asia Barat sudah pasti akan mengakibatkan lonjakan harga baja global yang pastinya akan menganggugat rantaian bekalan antarabangsa. 

Beliau menjelaskan, apa yang berlaku ini bukan sekadar tentang turun naik komoditi, sebaliknya ujian ketahanan (resilience) sistem pertanian dan keterjaminan makanan negara.

“Baja adalah input strategik. Peningkatan harga baja akan mengakibatkan kesan langsung kepada kos pengeluaran produk pertanian. 

“Malah, jika pihak petani mahu mengurangkan penggunaan baja untuk menampung kos, ianya akan merencatkan hasil dan menurunkan pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan

Beliau menyatakan, sudah tentu, apa pun tindakan yang akan dilakukan oleh petani, hasilnya akhirnya akan dirasai rakyat melalui kenaikan harga makanan, inflasi makanan dan tekanan kos sara hidup.

Sehubungan itu Dr Azman menegaskan dalam pada kerajaan wajar diberi ruang untuk bertindak, namun pada masa sama kerajaan juga wajar dinilai pada satu standard yang jelas iaitu dasar yang tersusun, indikator yang boleh diukur, dan pelaksanaan yang boleh diaudit.

“Kenyataan bahawa ‘bekalan makanan terjamin’ penting untuk menenangkan pasaran, tetapi ia tidak mencukupi jika tidak disertai pelan menyeluruh untuk mengurus risiko input pertanian serta pergantungan import yang tinggi,” tegasnya.

Tambah beliau, LATAS berpendapat, kelemahan terbesar sistem makanan Malaysia hari ini adalah kerana negara ini terlalu bergantung kepada input import, khususnya bagi sektor ternakan dan ayam. 

“Malaysia bergantung hampir sepenuhnya kepada bahan makanan ternakan seperti jagung dan soya (soybean meal) yang diimport dengan anggaran antara 98–100 peratus bagi komponen utama. 

“Kebergantungan ini menjadikan sektor ternakan akan turut terkesan apabila sesuatu konflik berlaku seperti hari ini,” jelasnya.

Kelemahan kedua pula, ujar beliau, ialah tahap sara diri makanan (self-sufficiency) yang terhad bagi beberapa komoditi penting, termasuk daging ruminan seperti daging lembu.

“Apabila sistem bergantung kepada import makanan ternakan dan dalam masa yang sama masih mengimport sebahagian besar daging, kerentanan bukan hanya pada risiko kekurangan bekalan, tetapi lebih ketara pada pendedahan harga (price exposure) terhadap volatiliti global. 

“Ringkasnya, sistem mungkin nampak stabil dalam jangka pendek, tetapi hakikatnya ia rapuh apabila kos global melonjak, “ jelas beliau lagi.

Dalam situasi seperti ini, katanya, LATAS ingin menegaskan bahawa kestabilan harga yang diihat pada hari ini boleh jadi bersifat sementara. 

Beliau menyatakan, salam rantaian bekalan, lazimnya wujud ‘tempoh lengah’ sebelum kos global diterjemahkan kepada harga runcit. 

Menurutnya lagi, pengimport mungkin masih menggunakan stok lama yang dibeli pada harga lebih rendah, manakala pengeluar menyerap sebahagian kos dengan mengecilkan margin. 

“Pada masa sama, subsidi bersasar dan kawalan harga bagi beberapa item keperluan turut menangguhkan kenaikan di peringkat pengguna. 

“Namun, penangguhan ini tidak boleh dianggap sebagai bukti sistem kukuh. Berdasarkan pola lampau, kesan penuh kenaikan kos global lazimnya muncul selepas dua hingga enam bulan, iaitu apabila input baharu yang lebih mahal menggantikan stok sedia ada dan apabila pengeluar tidak lagi mampu menyerap kos,” hujah beliau.

Sehubungan itu, Dr Azman menyatakan beberapa ruang penambahbaikan dasar yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan. 

“LATAS berpandangan, tindak balas krisis tidak boleh terbatas kepada ‘pelan kecemasan’ dan libat urus tanpa KPI yang jelas,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa dalam krisis input pertanian, negara memerlukan indikator seperti sasaran harga rujukan baja, sasaran stok penimbal, tempoh penghantaran, serta mekanisme intervensi apabila harga melonjak. 

“Kedua, pergantungan import makanan ternakan menuntut pelan pengurangan risiko yang lebih realistik dan berfasa bukan sekadar seruan umum agar rakyat bercucuk tanam,” tambahnya.

Justeru, Dr Azman menegaskan LATAS ingin mencadangkan beberapa langkah konstruktif berikut untuk diambil dan diberi perhatian oleh kerajaan,

“Pertama, berhubung stok penimbal strategik (baja dan makanan ternakan), kerajaan wajar mewujudkan stok penimbal baja kritikal serta stok penimbal input makanan ternakan bagi komoditi utama bagi mengurangkan kejutan harga dan gangguan bekalan.

“Langkah kedua ialah tidak bergantung kepada satu sumber import dan kontrak. Malaysia perlu mengurangkan risiko ‘single point of failure’ melalui kontrak bekalan pelbagai sumber dan rundingan antara kerajaan (G2G) bagi input strategik seperti baja, jagung dan soya,” katanya.

Langkah seterusnya, tambah Dr Azman ialah pelan peralihan input tempatan (downstream-first dan substitusi import), di mana kerajaan perlu menetapkan sasaran jelas untuk meningkatkan pengeluaran input tempatan dalam bentuk  biofertiliser, kompos berskala industri, serta sumber makanan ternakan alternatif tempatan (contohnya bahan sampingan agro, formulasi feed tempatan yang selamat dan berkualiti).

Katanya lagi, langkah keempat pula ialah skim sokongan input bersasar berasaskan data, yang mana subsidinya perlu bersasar kepada petani kecil dan pengeluar makanan asas, dengan asas kos operasi sebenar serta mekanisme penyaluran yang cepat dan telus.

“Kesimpulannya, jika kerajaan mempercepat reform berstruktur bukan sekadar mengurus persepsi Malaysia berupaya mengurangkan tekanan harga makanan dan memperkukuh keterjaminan makanan yang lebih berdaulat demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2026

- Advertisement -