
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menasihatkan rakyat negeri ini supaya menjaga kesihatan susulan keadaan kemarau yang semakin serius ketika ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak keluar rumah pada waktu tengah hari sekiranya tiada urusan penting bagi mengelakkan kesan cuaca panas melampau.
“Keadaan sekarang ini menyaksikan banyak kejadian kebakaran berlaku, kebanyakannya berpunca daripada semak samun yang mati akibat panas melampau.
“Ada juga kes melibatkan perokok yang membuang puntung rokok tanpa memadamkan api sepenuhnya, menyebabkan api kecil merebak menjadi kebakaran besar,” katanya.
Tambahnya, kejadian seumpama itu sering berlaku dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi membendungnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman apabila melalui jalan ke Masjid Meranti baru-baru ini dan terkejut apabila melihat semak samun tiba-tiba terbakar.
“Mulanya api kecil, mungkin kerana terlalu panas, kemudian merebak. Kita segera minta bantuan pihak bomba dan penyelamat dan Alhamdulillah api berjaya dikawal dengan baik,” jelasnya.
Menurutnya lagi, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dalam apa jua keadaan.
Katanya, bagi mereka yang merokok, diminta memastikan putung rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum dibuang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Namun, sebaik-baiknya jauhilah tabiat merokok,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui Dewan Ulama di peringkat kawasan akan menganjurkan solat istisqa’ bagi memohon hujan daripada Allah SWT.
Beliau menyatakan, keadaan semasa menunjukkan paras air sungai semakin surut, manakala sebahagian telaga juga mulai kering.
“Pokok-pokok dan rumput kebanyakannya telah kering kerana terlalu panas dan sudah lama tidak menerima hujan.
“Dalam Islam, kita diajar sebagaimana dilakukan Rasulullah SAW iaitu disunatkan menunaikan solat istisqa’ sebagai usaha memohon hujan dalam masa terdekat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2026




















