
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pembangkang bukan tidak agresif atau tidak bijak memanfaatkan isu.
Sebaliknya menurut beliau, realiti semasa menyaksikan peranan dimainkan dengan ‘sebelah kaki’ sebagai pembangkang dan ‘sebelah kaki’ lagi sebagai kerajaan.
Beliau berkata demikian dipercayai susulan kenyataan bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pembangkang sebagai paling tidak berguna.
Ia menurut Khairy, kerana gagal memanfaatkan isu besar seperti krisis tenaga global dan dakwaan rasuah RM9.5 juta melibatkan ahli Parlimen PKR.
Khairy turut dilaporkan menyindir kepimpinan pembangkang kerana tidak bersuara dalam isu berkenaan dan mempersoalkan kredibiliti mereka sebagai semak dan imbang.
Walau bagaimanapun, Dr Azman berkata, setiap teguran kepada Kerajaan Pusat mesti disertakan dengan langkah penyelesaian daripada Kerajaan Negeri agar ia menjadi teguran yang membina dan kondusif.
“Kalau boleh saya katakan, zaman sekarang rakyat dambakan politik solusi atau politik penyelesaian dan bukan lagi politik gema yang berdegar-degar.
“Rakyat mengimpikan untuk menjalani hidup dengan tenang dan tenteram. Bagaimana kita sebagai pemimpin yang diberikan amanah boleh berperanan untuk mewujudkan ketenteraman dan kedamaian ini,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata, sebagai contoh dalam isu beras tempatan, teguran kepada kerajaan perlu disertai langkah yang diambil Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi.
Ia jelas beliau seperti peningkatan infrastruktur pengairan, jalan pertanian, pembinaan empangan, penyelenggaraan pintu air serta peningkatan kesuburan tanah.
Katanya, dalam isu kenaikan harga diesel yang membebankan petani dan menjejaskan rantaian pengeluaran makanan, Kerajaan Negeri perlu mengatur langkah bagi mengurangkan beban pesawah.
“Antara yang praktikal ialah, Kerajaan Negeri mempertimbangkan ruang dan kemampuan kewangan yang ada untuk memberikan tambahan insentif membajak atau jentuai,” ulasnya.
Beliau berkata, keuntungan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hasil peningkatan harga minyak disalurkan kepada Kerajaan Pusat, manakala penyaluran wang petroleum atau royalti kepada Terengganu berhadapan pelbagai isu.
Katanya, kenaikan harga minyak adalah keputusan Kementerian Kewangan (MOF), namun Kerajaan Negeri tidak boleh berlepas tangan kerana pesawah dan petani yang menanggung beban.
Beliau berkata, dalam isu lesen nelayan, usaha meminta Kerajaan Persekutuan menyelesaikannya perlu seiring dengan tindakan Kerajaan Negeri memperkayakan sumber perikanan bagi meningkatkan hasil tangkapan.
Menurutnya, nelayan Terengganu terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain disebabkan isu infrastruktur pelabuhan dan jeti pendaratan.
“Maka kita usaha cari bajet untuk baik pulih dan naik taraf jeti yang di bawah seliaan LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia). Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga membina jeti-jeti baharu untuk kemudahan para nelayan,” jelas beliau.
Katanya, bagi jalan pertanian yang teruk, usaha dibuat untuk mendapatkan peruntukan daripada Kumpulan Wang Amanah Jalan Persekutuan selain peruntukan kerajaan negeri bagi tujuan menaik taraf kemudahan berkenaan.
“Jalan-jalan pertanian yang teruk, kita cari bajet dari Kumpulan Wang Amanah Jalan dari Persekutuan untuk naik taraf.
“Bajet negeri juga kita peruntukan untuk tujuan yang sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2026




















