
KOTA BHARU: Tiga keluarga yang terjejas dalam DUN Bunut Payong pada 1 Syawal lalu menerima sumbangan daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, sumbangan itu disampaikan beliau sebagai mewakili Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, dalam satu kunjungan ke lokasi kejadian, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Bunut Payong, Shaari Mat Yaman.
Menurut Rohani, bantuan tersebut diharap dapat bagi meringankan kesulitan mangsa, selain memberi sokongan moral untuk mereka bangkit semula.
“Semoga Allah SWT menggantikan segala yang hilang dengan yang lebih baik serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati ketika umat Islam yang lain dalam suasana sambutan Aidilfitri, keluarga terlibat pula kehilangan tempat tinggal serta harta benda.
Terdahulu, dalam kejadian kebakaran pada pagi Aidilfitri itu, kira-kira pukul 8.27 pagi itu telah memusnahkan tiga buah rumah teres dua tingkat.
Dua daripada rumah terbabit musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sekitar 80 peratus.
Namum, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni tiada di rumah ketika kejadian berlaku. – HARAKAHDAILY 26/3/2026




















