
SHAH ALAM: Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, serangan peribadi dalam politik kini sudah lapuk dan tidak lagi diterima rakyat.
Beliau berkata demikian dipercayai susulan kenyataan bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) yang didakwa melabel seorang pemimpin sebagai ‘stupid and incompetent’.
“Kepada bro KJ yang telah kalah kepada Ramanan dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang lalu, orang yang kamu kata ‘stupid and incompetent’.
“Ini adalah orang pertama yang telah berjaya mengekalkan kemenangan penggal kedua buat PAS di Terengganu.
“Aeronautical engineer’yang kamu kata ‘stupid and incompeten’ ini telah berjaya sapu bersih 32-0 di kerusi DUN di negeri Terengganu PRU15 yang lalu.
“Dan sekali gus mengekalkan dominasi 8-0 di Parlimen Terengganu,” bidas beliau dalam kenyataan.
Menurutnya, individu itu adalah daripada PAS yang juga merupakan parti dengan jumlah Ahli Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat.
Katanya, individu berkenaan juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), disifatkan sebagai bakat baharu, muda dan segar untuk berdepan PRU16.
“Tak seperti gabungan politik lain yang masih mengekalkan ‘orang lama’ memimpin,” bidas beliau lagi.
Beliau berkata, PN turut berjaya memperoleh empat negeri serta mengukuhkan kedudukan di Perak, Pahang dan Selangor pada PRU15 lalu.
“Bro KJ, strategi yang terbaik adalah untuk menang. Bukan sekadar untuk ‘loud and shine’ di media sosial.
“Politik kami adalah bersama dan untuk kebaikan rakyat. Bukan untuk jadi hiburan kepada rakyat dengan karya-karya retorik politik.
“Untuk makluman bro KJ, politik serang peribadi ini sudah lapuk. Rakyat dah tak makan,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran dipercayai di media sosial menulis dalam bahasa Inggeris.
“And we really do have a most useless Opposition right now. Global instability, energy crisis, corruption scandal. The stage is set for you to shin.
“But you’re just too stupid and incompetent. Hoping to win by default is not a strategy that inspires confidence.
“Kata aeronautical engineer, but you literally have no opinion on anything substantial. Amateur hour on both sides of the political divide,” tulis Khairy Jamaluddin. – HARAKAHDAILY 26/3/2026




















