Kenaikan diesel: Rakyat perlu penjelasan terperinci

Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan, kenaikan harga diesel kepada RM5.50 seliter perlu disertai penjelasan terperinci, ketelusan serta pelan mitigasi menyeluruh bagi melindungi rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata, rakyat Malaysia memahami realiti global yang mencabar, termasuk ketegangan geopolitik di Timur Tengah, gangguan rantaian bekalan tenaga, turun naik harga minyak mentah dunia serta tekanan kadar tukaran mata wang.

“Namun pengiktirafan terhadap faktor global tidak boleh dijadikan justifikasi kepada kelemahan dalam pengurusan dasar domestik, khususnya dari aspek perlindungan rakyat, ketelusan dan keadilan pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Amzad menggesa kerajaan untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai struktur harga diesel termasuk perbezaan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga katanya digesa mendedahkan mekanisme subsidi bersasar termasuk kriteria penerima serta mengumumkan pelan mitigasi bagi menangani inflasi, khususnya terhadap makanan dan pengangkutan.

Kerajaan juga tegasnya perlu mengadakan libat urus segera dengan kerajaan negeri dan pemain industri serta menilai semula kadar kenaikan atau melaksanakan pendekatan berperingkat bagi mengurangkan kejutan kepada ekonomi rakyat.

Beliau berkata, rakyat menolak ketidakjelasan dasar, ketidakkonsistenan pelaksanaan dan ketidakadilan antara wilayah. 

Faktor global ulasnya, mungkin di luar kawalan, tetapi kejelasan, keadilan dan keberkesanan dasar dalam negara adalah tanggungjawab mutlak kerajaan.

“Jika perkara ini gagal ditangani dengan baik, kesannya bukan sahaja kepada ekonomi, tetapi juga terhadap keyakinan rakyat kepada kepimpinan negara.

“Dasar yang baik bukan sekadar menjawab tekanan fiskal, tetapi mesti melindungi rakyat secara adil dan menyeluruh,” tegas beliau.

Menurut Ahmad Amzad, kenaikan harga diesel akan meningkatkan kos logistik dan pengangkutan, menyumbang kepada kenaikan harga makanan dan barangan asas, menekan margin perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta memburukkan kos sara hidup rakyat.

Beliau menegaskan, wujud persepsi bahawa kesan kenaikan diesel tidak seragam antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ia kata beliau, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai struktur penetapan harga, justifikasi dasar serta pelaksanaan subsidi bersasar.

“Ketiadaan penjelasan telus berisiko menimbulkan persepsi ketidakadilan antara wilayah, potensi ketirisan dalam sistem agihan (dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan),” jelas beliau.

Ahmad Amzad juga menekankan, kenaikan harga diesel memerlukan komunikasi yang tinggi dan telus, disokong data mencukupi, serta pelan konkrit bagi mengekang inflasi yang berkesan terhadap sektor pertanian, perikanan, logistik dan pengguna.

Beliau mengingatkan bahawa kelemahan reka bentuk dan pelaksanaan subsidi bersasar menimbulkan risiko golongan layak tercicir dan sektor ekonomi kritikal tidak dilindungi sepenuhnya.

“Tanpa sistem cekap dan telus, subsidi bersasar berpotensi menjadi alat retorik dan bukan solusi sebenar,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2026

- Advertisement -