Solat sunat Istisqa’ di 12 daerah seluruh negeri Kedah

Di Masjid Zahir, Alor Setar
- Advertisement -

ALOR SETAR: Solat sunat Istisqa’ memohon ke hadrat Allah SWT agar diturunkan hujan di negeri ini yang dilanda cuaca panas melampau dan kemarau, telah diadakan di seluruh 12 daerah di Kedah pada pagi ini.

Ia diadakan di Masjid Badlishah Pekan Yan (Daerah Yan), Masjid Andalusia, Bandar Laguna (Kuala Muda), Masjid Al-Fateh, Serdang (Bandar Baharu), Masjid Sungai Seluang (Kulim), Masjid Tanjung Musang (Pokok Sena) dan Padang Awam Kuala Ketil di Daerah Baling.

Manakala di Daerah Langkawi pula diadakan di Masjid Al-Hana, Masjid Zahir (Alor Setar), Masjid Tengku Sarafudin Badlishah (Padang Terap), Masjid Sharifah Husna (Pendang), Masjid Al-A’la (Kubang Pasu), seterusnya untuk Daerah Sik di Masjid Pekan Sik.

Program secara rasmi anjuran bersama Pejabat Daerah, Jabatan Hal-Ehwal Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan Pejabat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri itu diadakan bermula jam 8.30 pagi.

Dalam pada itu Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam juga telah membuat hebahan kepada seluruh masjid di negeri ini agar mengadakan mengadakan solat sunat tersebut, pada waktu sama, hari ini.

Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, selain dilaksanakan atas nasihat Mufti Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang, ia juga sebagai usaha memohon agar Allah SWT menurunkan hujan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi berkata, terdapat beberapa kawasan di negeri ini yang hampir sebulan tidak menerima hujan.

“Kita mengharapkan Allah turunkan hujan agar cuaca kembali seperti biasa. Para petani juga memerlukan hujan (air) untuk memulakan musim baru penanaman padi.

“Semoga Allah memperkenankan usaha kita dan mempermudahkan semua urusan,” kata beliau yang juga turut menyertai solat Istisqa’ di Masjid Jamei Badlishah, Pekan Yan.

Dato’ Ustaz Azam juga mengharapkan usaha memohon agar Allah SWT menurunkan hujan ini tidak hanya terhenti selepas solat sunat Istisqa’ ini diadakan.

Semua pihak terutama pihak pengurusan masjid ujarnya, digalakkan agar membaca doa Istisqa’ setiap kali selesai solat fardhu.

“Perbanyakkan istighfar, memohon keampunan Allah SWT, serta patuh dan taat kepada perintah Allah SWT. Terus adakan solat sunat Istisqa’ ini sekiranya cuaca panas ini masih berterusan,” katanya lagi.

Kedah antara negeri yang mengalami suhu panas agak melampau hingga mencecah 40 darjah Celsius.

Daerah Pokok Sena, Pendang dan Baling dikenal pasti sebagai daerah paling panas di Kedah, merekodkan suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut sejak Mac ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), daerah tersebut dikatakan berada di bawah status gelombang haba tahap dua dengan suhu yang boleh menjejaskan kesihatan.

Dalam pada itu, semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menyertai solat sunat Istisqa’ ini di kawasan masing-masing. – HARAKAHDAILY 26/3/2026

- Advertisement -
Solat sunat Istisqa’ di Masjid Andalusia, Bandar Laguna
- Advertisement -