PN gesa siasatan telus dakwaan bayaran RM9.5 juta libat MP PKR

Penjelasan kerajaan dituntut, integriti dan akauntabiliti jadi perhatian

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menjalankan siasatan yang menyeluruh.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu berkaitan dakwaan seorang ahli perniagaan mengenai pembayaran sebanyak RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen daripada PKR.
 
Ia jelas Ahli Parlimen Kota Bharu itu bagi tujuan ‘menyelesaikan’ isu rangkaian yang digelar sebagai ‘mafia korporat’.
 
Beilau berkata, SPRM dan PDRM juga perlu siasat secara bebas dan telus tanpa selindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak atau individu.
 
“PN juga menggesa kerajaan, khususnya kepimpinan PKR, supaya memberikan penjelasan segera kepada rakyat, selain bekerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan.
 
“Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa,
 
“Dalam pada itu, PN juga mendesak supaya identiti individu terlibat hanya ditentukan melalui proses siasatan yang sah bagi omenghindari spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak yang tidak bersalah,” ujarnya dalam kenyataan.
 
Menurut beliau, dakwaan itu amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang besar.
 
Tetapi jelas beliau, ia turut menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik serta integriti institusi negara.
 
“Lebih membimbangkan, menurut dakwaan tersebut wang berkenaan diberikan untuk tujuan mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.
 
“Sekiranya benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan oleh kerajaan.
 
“Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi bahawa pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang,” ulasnya.
 
Beliau menegaskan, PN akan terus memantau perkembangan kes itu dan tidak akan teragak-agak untuk membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.
 
“Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata muluk pemanis bicara, tetapi lebih daripada itu, ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani,” katanya.
 
Terdahulu, media tempatan melaporkan, pemimpin PKR, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan menafikan beliau adalah ‘Mr R’ yang didakwa menerima RM9.5 juta dan menegaskan tidak mengenali ahli perniagaan, Victor Chin.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan dakwaan itu tidak masuk akal serta mendakwa individu berkenaan terlibat dalam pelbagai salah laku termasuk manipulasi pasaran dan penipuan.
 
Ramanan berkata beliau tampil menjelaskan isu itu bagi mengelakkan kekeliruan terhadap parti, manakala sebelum ini bekas pemimpin PKR, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli turut membuat penafian berkaitan dakwaan sama.
 
Ia susulan Victor mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal mafia korporat, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan. – HARAKAHDAILY 26/3/2026
 

- Advertisement -