
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berjaya merealisasikan sebanyak 84 peratus Tawaran Manifesto Pilihan Raya Negeri ke-15 dalam tempoh separuh penggal pertama pentadbiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, pencapaian itu menunjukkan pelaksanaan dasar kerajaan negeri berada pada landasan tepat serta dilaksana secara konsisten dan berfokus.
Menurutnya, dapatan berkenaan diperoleh menerusi laporan Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK), Pejabat Menteri Besar Kelantan bagi tempoh September 2023 hingga Januari 2026.
“Dalam tempoh tiga tahun pentadbiran atau separuh penggal pertama, prestasi pelaksanaan manifesto menunjukkan perkembangan yang konsisten, progresif dan berfokus.
“Daripada 96 program yang dirancang merangkumi 18 tawaran, sebanyak 84 peratus telah berjaya dilaksanakan, manakala selebihnya berada dalam fasa pelaksanaan aktif dan hanya sebahagian kecil belum dimulakan,” katanya dalam sidang media semalam.
Beliau berkata, penilaian pencapaian dibuat secara menyeluruh melalui libat urus semua portfolio dengan mengambil kira dapatan agensi berkaitan.
Tambah beliau, antara sektor yang mencatat pencapaian tertinggi ialah cakna perantau sebanyak 100 peratus, pembangunan keluarga dan Masyarakat, 99 peratus serta produktiviti pertanian sebanyak 97 peratus.
“Pembangunan pendidikan dan kemahiran serta pembangunan wanita masing-masing mencatat 95 peratus, diikuti alam sekitar lestari 93 peratus, kesukanan dan rekreasi 90 peratus dan peluasan prasarana digital 89 peratus.
“Ihtirafi tadbir urus pula merekodkan 87 peratus, manakala kecaknaan insan istimewa 85 peratus dan pembangunan insaniah serta pengukuhan hubungan antara kaum masing-masing 80 peratus,” ujarnya.
Beliau menyatakan jugakesejahteraan rakyat serta seni budaya dan warisan Kelantan masing-masing mencapai 77 peratus, diikuti pembangunan bekalan air bersih 76 peratus, anak muda bermaruah 74 peratus dan pembangunan sosioekonomi 67 peratus.
“Sementara itu, kebersamaan NGO mencatat 50 peratus, namun kesemua inisiatif masih dalam pelaksanaan aktif,” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pencapaian keseluruhan itu membuktikan kerajaan negeri komited dalam menunaikan janji kepada rakyat walaupun tempoh pentadbiran belum mencapai lima tahun.
“Prestasi semasa turut memperkukuh keyakinan bahawa baki tempoh sehingga 2028 akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melengkapkan keseluruhan tawaran manifesto.
“Dengan komitmen berterusan, kerjasama semua pihak dan pendekatan berfokus kepada rakyat, kerajaan negeri yakin mampu untuk mencapai pembangunan yang lebih menyeluruh, sejahtera dan mampan menjelang akhir penggal,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2026




















