Iran siap siaga, musuh cuba tawan Pulau Kharg

- Advertisement -

TEHRAN: Speaker parlimen Iran yang berpengaruh memberi amaran tentang kemungkinan pencerobohan sebuah pulau milik Iran dengan sokongan sebuah negara serantau yang tidak dinamakan.

- Advertisement -

Mohammad Bagher Ghalibaf berkata demikian dalam catatan X, berdasarkan beberapa laporan risikan, dan sehubungan itu, pihaknya kini sedang memantau semua pergerakan musuh.

“Jika mereka (pihak musuh) mengambil sebarang langkah, semua infrastruktur penting negara serantau itu akan disasarkan dengan serangan tanpa henti,” tegas kenyataan itu.

Terdahalu, Presiden Amerika Syarikat,  Donald Trump dilaporkan sedang memindahkan beribu-ribu tentera udara dan marin tambahan ke Teluk di tengah-tengah spekulasi bahawa beliau mungkin mengarahkan pencerobohan darat untuk sama ada merampas aset minyak Iran di Teluk atau mengamankan Selat Hormuz yang strategik.

Satu sasaran yang mungkin ialah Pulau Kharg, yang mengendalikan hampir semua eksport minyak mentah Iran.

Trump telah melabelkannya sebagai ‘pulau minyak kecil yang terletak di sana, jadi tidak dilindungi sepenuhnya’.

Terdahulu pada hari Rabu, seorang pegawai tentera Iran yang tidak dinamakan memberitahu media tempatan bahawa Iran akan menyasarkan perkapalan di Laut Merah sekiranya berlaku pencerobohan darat, yang akan meluaskan konflik secara dramatik dan mengganggu perdagangan global.

Iran mempersenjatai dan menyokong kumpulan pejuang Islam, Houthi di Yaman yang sebelum ini menyasarkan perkapalan yang melalui Selat Bab el-Mandeb, saluran ke Laut Merah dan Terusan Suez.

“Jika musuh cuba melakukan operasi darat di pulau-pulau Iran atau di mana-mana sahaja di wilayah kami, atau jika ia cuba mengenakan kos ke atas Iran melalui gerakan tentera laut di Teluk Parsi dan Laut Oman, kami akan membuka barisan hadapan lain sebagai ‘kejutan’.

“Selat Bab el-Mandeb adalah antara selat paling strategik di dunia, dan Iran mempunyai kemahuan dan keupayaan untuk menimbulkan ancaman yang boleh dipercayai sepenuhnya terhadapnya,” kata pegawai itu dipetik oleh agensi berita Tasnim.

Laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, yang terletak di luar Iran, telah menjadi perlahan angkara serangan AS-Zionis Israel ke atas Iran, mengganggu kira-kira 20 peratus bekalan minyak global.

Sehubungan itu, harga minyak mentah telah melonjak kepada sekitar USD$100 setong akibat daripada apa yang dilabelkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) sebagai ‘gangguan bekalan terbesar dalam sejarah pasaran minyak global’.  – HARAKAHDAILY 26/3/2026

- Advertisement -