Pindaan EKJS di Sidang DUN Kelantan April ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019 kini berada pada peringkat akhir penelitian sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual berlangsung April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, draf pindaan enakmen tersebut sedang diteliti oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), khususnya di peringkat Jemaah Ulama bagi semakan lanjut.

- Advertisement -

Menurutnya, selepas proses penelitian itu selesai, cadangan pindaan berkenaan akan dibawa semula ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum dimuktamadkan untuk pembentangan di persidangan DUN.

“Jika tiada perubahan sebagaimana dimaklumkan sebelum ini oleh Pengerusi Lajnah Undang-Undang yang juga Timbalan Menteri Besar, ia dijangka dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Iftar Perdana Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan bersama media di sini

“Sebahagian besar penyediaan pindaan tersebut sebenarnya telah siap sejak tahun lalu, namun masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penambahbaikan sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Menurutnya, proses penelitian itu melibatkan kajian oleh pelbagai pihak berautoriti dalam kerajaan negeri termasuk mufti, Jemaah Ulama serta panel peguam yang dilantik.

Tambah beliau, perkara berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan satu pelan tindakan atau ‘blueprint’ akan disediakan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik.

Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam enakmen tersebut yang diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 9 Februari 2024.

Keputusan itu dibuat oleh panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 selepas membenarkan petisyen difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid bersama anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman. –HARAKAHDAILY 10/3/2026

- Advertisement -