Lantikan Ahli Penasihat DBKL pinggir kaum India?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ts Dr Subash Chandrabose M Arumugam, menzahirkan kekecewaan dengan pelantikan Ahli Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diumumkan baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan itu berkata, pelantikan baharu bagi tahun 2026 itu langsung tidak melibatkan wakil dari kalangan masyarakat kaum India.

Menurut beliau, Kuala Lumpur sebagai ibu negara dibina atas kepelbagaian kaum dan budaya, dengan komuniti Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Katanya, komuniti masyarakat majmuk tersebut telah bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan keharmonian bandar raya ini.

“Dalam konteks pentadbiran bandar, representasi pelbagai kaum amat penting bagi memastikan setiap isu masyarakat difahami dan ditangani secara menyeluruh.

“Bagi komuniti India, kehadiran sekurang-kurangnya seorang wakil dalam barisan Ahli Penasihat DBKL adalah signifikan untuk menyuarakan isu kebajikan, pembangunan komuniti dan keperluan setempat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa amalan sebelum ini lazimnya memastikan adanya wakil daripada pelbagai kaum bagi mengekalkan keseimbangan dan keadilan dalam proses konsultasi dan nasihat kepada pihak DBKL.

Oleh itu, ketiadaan langsung wakil masyarakat India dalam peranan tersebut telah menimbulkan persoalan serta kekecewaan dalam kalangan komuniti kaum tersebut.

Dr Subash berharap Kementerian Wilayah Persekutuan dapat meneliti semula perkara ini dan mempertimbangkan pelantikan wakil daripada masyarakat India.

Kata beliau, ia bagi memastikan prinsip keterangkuman, keseimbangan dan keadilan dalam pentadbiran Kuala Lumpur terus terpelihara.

“Kuala Lumpur adalah milik semua rakyat Malaysia. Suara setiap komuniti harus diberi ruang dalam proses membuat keputusan demi pembangunan bandar raya yang inklusif dan sejahtera,” ujarnya.

Terdahulu, Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 11 Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur bertempat di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut telah diadakan pada 12 Februari lalu.

Watikah pelantikan telah disampaikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud.

Sepuluh Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur yang baharu dilantik ialah Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, Datuk Azizulrahman Mohd Hussain Malim dan Datuk Ts Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen.

Juga Datuk Tong Nguen Khoong, Ahmad Asri Talib, Dr Ronald Pua Eng Teck, Mohd Ashraf Mazlan, Idawate Pariman, Choo Chen Leece dan Lee Bing Hong.

Untuk rekod, Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur sedia ada ialah Raja Dato’ Muzaffar Raja Redzwa, Datuk Ramzi Mansor, Dato’ Setia Haji Haris Kasim dan Che Kodir Baharom. – *HARAKAHDAILY 9/3/2026*

- Advertisement -