
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk meninggalkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) walaupun timbul pelbagai spekulasi berhubung gagasan ‘Rumah Bangsa’.
Menurutnya, pendirian itu dibuat selepas beliau menilai masa depan perjuangan orang Melayu dan Islam di negara ini, selain mengambil kira pengalaman lebih 40 tahun dalam Umno sebelum menyertai PAS sejak tiga tahun lalu.
Katanya, beliau sebenarnya tidak pernah meninggalkan Umno secara sukarela, sebaliknya dipecat tanpa sebab yang jelas selepas lebih empat dekad berjuang dalam parti tersebut.
“Tiada satu sebab untuk saya meninggalkan PAS. Saya istiqamah ingin melihat Umno memimpin penyatuan umat Melayu Islam, namun malangnya Umno memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media selepas menghadiri pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Selangor, di sini.
Tambahnya, selepas tidak berparti selama beberapa bulan, beliau mengambil masa menilai hala tuju perjuangan politik Melayu dan Islam sebelum akhirnya membuat keputusan menyertai PAS.
“Saya tidak pernah meninggalkan Umno secara sukarela. Saya dipecat tanpa sebab yang jelas, tanpa notis, tanpa diberi peluang mengetahui kesalahan yang didakwa dan tanpa ruang untuk membela diri walaupun saya antara pengasas penaja yang membantu menghidupkan semula Umno selepas parti itu diharamkan,” katanya.
Sambungnya lagi, ketika berada di Makkah pada 1 Rajab 2023 beliau mendapat keyakinan bahawa PAS merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan siasah, dakwah dan tarbiyah berasaskan Islam secara konsisten.
“Saya membuat panggilan telefon kepada Setiausaha Agung PAS dan memaklumkan kesediaan saya untuk berjuang bersama PAS. Saya tidak memilih untuk kekal tanpa parti, sebaliknya memilih untuk terus berjuang,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, perkembangan politik setahun kemudian membuktikan ramalannya apabila PAS muncul sebagai parti terbesar di Parlimen dengan hampir 200 wakil rakyat di pelbagai peringkat.
Tambah beliau, walaupun tidak memegang jawatan penting dalam PAS seperti ketika berada dalam Umno, ruang yang diberikan untuk menyumbang sudah memadai untuknya terus berjuang demi Islam dan rakyat.
“Rumah Bangsa mungkin jenama baharu, tetapi isinya tetap sama dan tuan rumahnya juga orang yang sama. Saya sudah berada dalam ‘rumah’ yang berasaskan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Sehubungan itu beliau menegaskan sekali lagi bahawa tiada satu sebab pun untuk beliau meninggalkan PAS dan jemaah perjuangan yang disertainya ketika ini.
Katanya, setiap individu mempunyai landasan perjuangan masing-masing dan pilihan yang dibuat perlu berasaskan matlamat untuk mendapat keredaan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 9/3/2026











