Selagi Umno bersama DAP sukar bina kembali kekuatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selagi Umno meneruskan kerjasama dengan DAP, parti itu dilihat sukar untuk membina kembali kekuatan politiknya, ujar penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Beliau memetik pendirian bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menolak kerjasama dengan DAP di mana mencerminkan prinsip dipegang pemimpin tersebut sepanjang berada dalam parti itu.

“Beliau (Noh Omar) seorang yang berprinsip, perjuangan membela dan mengangkat maruah agama, bangsa dan negara agenda utamanya. 
Beliau dipecat Umno kerana mahu mempertahan hubungan dengan PAS dan menolak DAP.

“Beliau digugurkan dari bertanding mempertahankan kerusi Parlimen nya di Tanjung Karang akhirnya BN kecundang di situ. Dan turut kalah kemudiannya di kedua-dua DUN (Dewan Undangan Negeri) Permatang dan Sungai Burung bawah Parlimen Tanjung Karang (Permatang ditandingi PH),” ujarnya.

Mengulas inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang dibuka Umno bagi menerima semula bekas ahlinya untuk mengukuhkan parti, Roslan berkata, Noh memberi respons berhubung perkara itu.

“Saya punya prinsip senang sahaja, kalau benar-benar mahu buat ‘Rumah Bangsa’, tidak payah bekerjasama dengan DAP. Jiwa saya tetap jiwa Umno tetapi tidak boleh menerima kerjasama yang dibuat dengan PH kerana prinsip yang berbeza,” katanya memetik kenyataan Noh.

Roslan berkata, Umno perlu jelas dengan pendiriannya berhubung DAP kerana hubungan dengan parti itu dilihat sebagai halangan besar dalam usaha membina kembali kekuatan parti berkenaan.

Beliau menegaskan, umat Melayu tidak selesa malah tidak dapat menerima agenda DAP yang dianggap banyak bercanggah dengan prinsip perjuangan ummah.

“Selagi perkara ini tidak jelas, saya bimbang Umno tidak akan berjaya mencapai hasratnya. Tan Sri Noh bukan seorang malah ramai yang sepertinya, sedarlah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2026

- Advertisement -
- Advertisement -