Jangan biar kuasa politik Melayu-Islam berpecah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan, kuasa politik Melayu-Islam tidak boleh dibiarkan lemah dan berpecah, sebaliknya perlu disatukan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

- Advertisement -

Pengerusi Sekretariat UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, usaha ini diserlahkan melalui sokongan penuh UMMAH terhadap penubuhan Majlis Sekretariat Musyawarah Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.

Menurut beliau, cadangan ini sudah lama diperjuangkan oleh UMMAH dan beberapa badan bukan kerajaan Melayu-Islam (NGO) akhirnya diadakan dengan dihoskan Umno melibatjan lapan parti politik di World Trade Centre (WTC) baru-baru ini.

“Dua bulan lalu, pihak NGO telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dato’ Haji Dusuki, bagi membuka pintu perbincangan antara parti-parti Melayu-Islam untuk memperkasakan agenda Islam, pendidikan, ekonomi, dan penyatuan ummah.

“Sebulan sebelum itu, pihak NGO juga bertemu dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh bagi membincangkan penyatuan ummah rentas parti dan menyelaraskan perbezaan demi kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambah Mohd Zai, kuasa politik Melayu-Islam kini mewakili 65 peratus pengundi di negara ini, justeru katanya, wajar diperkuatkan bagi memperkukuh agenda penyatuan.

“Pemimpin politik teras Melayu-Islam digesa mengetepikan kepentingan parti sendiri dan bergerak ke hadapan untuk mendepani cabaran lebih besar.

“Rakyat sedang menantikan usaha penyatuan ini. Jika berjaya, semua parti teras Melayu-Islam dijangka mendapat sokongan yang baik dalam pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar Majlis Sekretariat Musyawarah itu tidak terhad hanya kepada parti politik, tetapi juga melibatkan NGO dan NGI Melayu-Islam yang mempunyai pengaruh tersendiri, bagi membincangkan isu semasa secara lebih menyeluruh dan memperkasakan agenda negara secara kolektif.

Pada 5 Mac lalu, Musyawarah Isu-isu Islam, Melayu dan Bumiputera menghimpunkan lapan parti politik yang mempunyai sokongan Islam, Melayu dan Bumiputera di WTC.

Antara parti terlibat ialah Umno, PAS, PKR, PAN, GRS, BERJASA, KIMMA dan IKATAN, menjadikan pertemuan itu dianggap sangat bersejarah. – HARAKAHDAILY 9/3/2026

- Advertisement -