Gesa siasatan bebas kes kematian doktor pelatih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menubuhkan satu siasatan bebas dan telus bagi menyiasat secara menyeluruh kejadian kematian seorang doktor pelatih di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada 6 Mac lalu.
 
Timbalan Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, siasatan itu perlu meliputi pelbagai aspek termasuk faktor persekitaran kerja, beban tugas serta sistem sokongan kepada doktor pelatih.
 
Beliau berkata, siasatan berkenaan juga tidak seharusnya terhad kepada aspek perundangan semata-mata, sebaliknya perlu turut menilai faktor sistemik yang mungkin menyumbang kepada tekanan mental dalam kalangan pegawai perubatan.
 
“Proses siasatan itu juga perlu melibatkan pihak berkecuali termasuk wakil badan profesional perubatan, pakar kesihatan mental serta organisasi berkaitan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
 
Menurutnya, laporan hasil siasatan bersama cadangan penambahbaikan juga perlu dikemukakan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan mental serta persekitaran kerja yang lebih sihat untuk semua petugas kesihatan.
 
Dalam pada itu, Lajnah Kesihatan PAS Pusat katanya turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah yang dilaporkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
 
“Pemergian seorang doktor pelatih muda pada usia yang sangat muda merupakan satu tragedi yang amat menyedihkan dan memberi kesan mendalam kepada seluruh warga kesihatan negara,” katanya.
 
Dr Mohd Mazri berkata, pihaknya memandang serius laporan yang tular berkaitan tekanan kerja serta keadaan persekitaran latihan pegawai perubatan di hospital kerajaan susulan kejadian itu.
 
Beliau berkata, isu kesejahteraan mental dalam kalangan doktor pelatih bukan perkara baharu dan telah lama menjadi kebimbangan dalam sistem kesihatan negara.
 
Menurutnya, rakyat pernah dikejutkan dengan kejadian bunuh diri membabitkan seorang doktor yang hamil empat bulan di Shah Alam pada 2023 serta seorang pakar patologi di Lahad Datu pada 2024.
 
“Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang. Sistem kesihatan negara perlu memastikan bahawa para doktor muda yang berkhidmat untuk rakyat tidak terpaksa berhadapan dengan tekanan melampau tanpa sokongan mencukupi.
 
“Keadilan dan ketelusan dalam siasatan adalah penting demi menjaga kebajikan petugas kesihatan serta integriti sistem kesihatan negara,” katanya.
 
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan memberi kekuatan kepada seluruh ahli keluarganya.
 
Terdahulu, media tempatan melaporkan, seorang doktor pelatih berusia 29 tahun ditemui maut di bilik air asrama di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada 6 Mac lalu.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.55 pagi dan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
 
Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dengan punca kematian akibat tekanan pada leher. – HARAKAHDAILY 9/3/2026

- Advertisement -

- Advertisement -