Cadang Dr Ab Halim dilantik Pengerusi PN Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri wajar dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri bagi membawa nafas baharu kepada landskap politik Selangor.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, cadangan itu dibuat berlandaskan penilaian rasional terhadap kewibawaan, integriti dan pengalaman politik Dr Ab Halim, bukan sekadar sentimen politik.

“Dato’ Dr Ab Halim dikenali sebagai tokoh ilmuwan dengan latar belakang akademik kukuh, berakhlak mulia dan mempraktikkan nilai-nilai Islam dalam kepimpinan. Beliau seorang profesor pendidikan Islam yang menampilkan kepimpinan sederhana, berprinsip dan berintegriti,” katanya.

Mohamed Sukri yang juga Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menegaskan bahawa dunia politik memerlukan pemimpin berteraskan akhlak, kejujuran dan kesederhanaan.

“Ab Halim mempunyai ciri kepimpinan sedemikian dengan kebijaksanaan, ketenangan dan kewibawaan, bukan sekadar retorik politik. Pengalaman Ab Halim sebagai pemimpin PAS Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri membolehkannya memahami realiti politik serta kehendak masyarakat negeri ini.

“Selangor memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan kekuatan pelbagai pihak dalam PN dengan pendekatan matang dan berhemah,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau berkata, Pemuda PAS Selangor menekankan kepimpinan masa depan negeri perlu dibawa tokoh yang bersih, berintegriti dan dihormati rakyat.

“Kepimpinan berteraskan ilmu, integriti dan akhlak mampu mengangkat martabat politik dengan budaya lebih matang dan berwibawa,” katanya.

Beliau menegaskan keyakinan bahawa dengan kepimpinan Ab Halim, Perikatan Nasional Selangor akan menjadi gabungan politik yang tersusun, berprinsip dan diyakini rakyat. – HARAKAHDAILY 9/3/2026

- Advertisement -