Siapa dalang di sebalik serangan terhadap Cikgu Chandra?

Keadaan cermin kereta dan tingkap rumah Cikgu Chandra yang dipecah oleh tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang dalam kejadian di Puchong. FOTO FACEBOOK Firdaus Wong Wai Hung.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah oleh beberapa individu tidak dikenali yang dilaporkan menyerang kediaman seorang aktivis masyarakat dikenali sebagai Cikgu Chandra dalam satu kejadian pada Selasa.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamad Suffi Kamari berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa individu bertopeng dipercayai telah menceroboh kawasan rumah mangsa sebelum bertindak memecahkan jeriji besi serta merosakkan beberapa harta benda termasuk kenderaan miliknya.

- Advertisement -

Menurut beliau, tindakan bersifat ganas itu bukan sahaja mengancam keselamatan Cikgu Chandra, malah turut membahayakan ahli keluarga mangsa yang berada di kediaman berkenaan ketika kejadian.

“Kami menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan atau perselisihan pendapat dalam masyarakat tidak boleh sama sekali diselesaikan melalui kekerasan dan tindakan jenayah.

“Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang mempunyai undang-undang dan mesti dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Suffi memaklumkan sebuah kereta milik aktivis berkenaan turut dilaporkan dibakar dalam satu kejadian dipercayai khianat di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong, awal pagi Selasa.

Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon daripada Cikgu Chandra sekitar jam 5 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut serta keadaan semasa keluarga mangsa.

“Saya menerima panggilan telefon daripada Cikgu Chandra sekitar jam 5 pagi bagi mendapatkan keadaan sebenar serta situasi keluarga beliau,” katanya.

Beliau berkata, kejadian membabitkan kenderaan itu dipercayai berlaku sekitar jam 3 pagi di kawasan kejiranan berkenaan.

Tambahnya, lokasi kejadian merupakan kawasan perumahan yang mempunyai ramai jiran dan berkemungkinan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik penduduk berhampiran yang boleh membantu siasatan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan siasatan segera dan menyeluruh bagi mengenal pasti serta menangkap pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Menurut Suffi, pelaku jenayah seperti itu tidak boleh dibiarkan bebas kerana ia berpotensi mewujudkan budaya intimidasi serta keganasan dalam masyarakat.

Sementara itu, aktivis dakwah Firdaus Wong Wai Hung dilaporkan sedang membantu memindahkan Cikgu Chandra bersama keluarganya ke lokasi yang lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saudara Firdaus Wong sedang membantu memindahkan Cikgu Chandra dan keluarga beliau pagi ini ke lokasi yang lebih selamat,” katanya.

Dalam masa sama, Suffi menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang walaupun berdepan perbezaan pandangan atau ketidaksetujuan terhadap mana-mana individu.

“Dewan Pemuda PAS Selangor berdiri teguh menolak sebarang bentuk keganasan dan menyeru agar keselamatan serta keamanan masyarakat sentiasa dipelihara,” ujarnya.

Sebelum ini, Cikgu Chandra dilaporkan memaklumkan kediamannya dipercayai diceroboh oleh tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dalam kejadian di Puchong. HARAKAHDAILY – 10/3/2026

- Advertisement -