
KUALA LUMPUR: Apabila sesebuah negara mula bergolak dan keadaan menjadi huru-hara, akan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada kekacauan itu untuk mencapai agenda mereka.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keadaan seperti itu tidak boleh dibiarkan sehingga menjejaskan keselamatan awam serta kestabilan negara.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, negara juga tidak boleh dibiarkan sehingga ke tahap terpaksa diisytiharkan darurat.
“Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal sehingga membawa kepada darurat, rakyat dan negara secara keseluruhannya akan menanggung kerugian yang besar dari segi kestabilan, ekonomi dan kehidupan masyarakat.
“Oleh itu, semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bertanggungjawab demi memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya dalam media sosial miliknya.
Dalam pada itu, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas pembakaran kenderaan yang dilaporkan berlaku ke atas seorang individu dikenali sebagai S Chandrasegaran, 47 (Cikgu Chandra).
Beliau menegaskan perbuatan melampau seperti itu tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan undang-undang dan keamanan.
Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta supaya kekal tenang serta tidak bertindak di luar batas kewarasan.
Pada masa sama, beliau mendesak pihak berkuasa mengambil serius perkembangan berkenaan serta melaksanakan siasatan dengan segera, telus dan menyeluruh.
Katanya, individu atau kumpulan yang terlibat perlu dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan agar keadilan dapat ditegakkan serta menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak melakukan tindakan serupa.
Beliau turut menegaskan setiap pihak hendaklah menghormati serta mematuhi undang-undang negara.
“Sebarang pertikaian atau ketidakpuasan hati mesti disalurkan melalui saluran undang-undang yang sah.
“Mengambil undang-undang di tangan sendiri hanya akan memburukkan keadaan serta membuka ruang kepada unsur provokasi dan ekstremisme,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung memuat naik satu insiden serangan oleh tiga lelaki bersenjata di rumah Cikgu Chandra pada Isnin.
Kejadian kedua menimpa Cikgu Chandra selepas kenderaan lelaki itu dibakar oleh individu tidak dikenali pada awal pagi Selasa.
Ahad lalu, polis menahan seorang individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan insiden ancaman terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 10/3/2026











