Terengganu Hijab Day 2026: Lebih sekadar fesyen

- Advertisement -

KUALA NERUS: Terengganu Hijab Day 2026 yang bertemakan ‘Lelaki Qawwam, Pelindung Wanita’ bukan sahaja memfokuskan kepada pemakaian hijab patuh syariah, malah membawa mesej lebih mendalam mengenai ketaatan kepada agama dan pembangunan akhlak serta insan.

- Advertisement -

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, program tahunan itu merupakan platform dakwah, pendidikan dan pembinaan ummah.

“Kita harus memahami bahawa inspirasi di sebalik program ini bukanlah berhenti setakat mendalami kefahaman tentang hijab atau kepentingan menggayakan pakaian yang patuh syariah.

“Ia adalah simbol ketaatan kepada agama serta ketinggian akhlak dan insani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Terengganu Hijab Day 2026, di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini.

Menurutnya, penglibatan muslimah bukan sahaja menekankan penampilan, tetapi juga peranan mereka sebagai tonggak keluarga, masyarakat dan negara.

“Mengambil kata-kata pemikir Islam terkemuka, Hamka, wanita ini diibaratkan sebagai tiang negara, jika wanitanya baik, baiklah negara dan sebaliknya jika ia rapuh, maka retaklah sebuah-sebuah negara itu,” katanya.

Tambah beliau, lelaki bukan sekadar ketua keluarga, malah memikul tanggungjawab besar sebagai pemimpin, pendidik dan pelindung kepada wanita agar kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat kekal dalam kerangka yang diredhai Allah SWT.

“Program ini menekankan peranan lelaki sebagai contoh iaitu pelindung dan pemimpin dalam keluarga yang berperanan memelihara kehormatan wanita serta bertanggungjawab memperkukuhkan institusi keluarga berdasarkan pada tuntutan syariah,” ujarnya.

Sementara itu, Azmi merakamkan ucapan tahniah kepada tokoh penerima anugerah pada majlis tersebut, yang dianggap sebagai permata berharga dalam menyebarkan syiar Islam di negeri Terengganu.

“Semoga pencapaian yang kita capai ini menjadi pemangkin untuk mencipta perubahan positif, memperkasa komuniti, membuka lebih banyak ruang kepada generasi.

“Saya optimis bahawa usaha memartabatkan gaya pemakaian hijab serta memantapkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan memelihara aurat ini akan terus subur.

“Bukan sahaja dari segi penampilan, tetapi ia juga akan memberi impak dan juga pembinaan adab dan peribadi muslimah yang baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2026

- Advertisement -