
KAHERAH, Mesir: SG4 Group bersama Sekretariat SG4 telah berjaya menganjurkan program Outreach Perniagaan Discover Malaysia 2026 di Holiday Inn Hotel, di sini 10 Februari lalu.
Program dengan kerjasama Kedutaan Malaysia dan Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ini, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Mesir.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Ahli Lembaga Pengarah SG4 Group, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, Mohd Nasriff Daud dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Mereka juga masing-masing adalah Exco Kerajaan Negeri Kedah dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Kelantan serta Exco Kerajaan Negeri Terengganu mencerminkan kerjasama erat antara negeri-negeri dalam memperkasa diplomasi ekonomi Malaysia.
Program ini turut mendapat sokongan dan penganjuran secara bersama daripada Invest Kedah, Invest Kelantan dan Invest Terengganu dalam mempromosikan peluang pelaburan merangkumi sektor-sektor pertumbuhan utama di ketiga-tiga negeri.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Rafedah Abdul Aziz membentangkan tinjauan perdagangan Malaysia.
Beliau menegaskan Malaysia sebagai rakan kongsi jangka panjang yang bersedia untuk menyokong agenda perindustrian Mesir di bawah Wawasan Mesir 2030 melalui produk dan perkhidmatan nilai tambah tinggi.
Manakala Pesuruhjaya MATRADE Kaherah, Mohd Khairy Maidin menegaskan komitmen MATRADE dalam memperkukuh serta mempercepatkan hubungan perdagangan Malaysia–Mesir.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Egypt–Malaysia Business Council Dr Sherif El-Gabaly merangkap Ahli Parlimen Mesir menyeru agar kerjasama Malaysia–Mesir beralih ke arah perkongsian industri bernilai tinggi.
Khususnya kata beliau, dalam industri halal dengan memanfaatkan pensijilan Malaysia yang diiktiraf di peringkat global bagi menembusi pasaran Afrika, Timur Tengah dan Eropah.
Beliau turut mencadangkan pengukuhan usaha sama dalam zon perindustrian Mesir melibatkan sektor pemprosesan makanan, bahan kimia dan jentera, serta memperluas kerjasama dalam bidang digital dan teknologi maklumat yang masih mempunyai potensi besar untuk diterokai bersama.
Penyertaan aktif serta maklum balas positif daripada pihak berkepentingan Mesir membuktikan kejayaan inisiatif ini dan mengukuhkan peranan SG4 Group sebagai jambatan strategik menghubungkan negeri-negeri Malaysia dengan pasaran antarabangsa. – HARAKAHDAILY 13/2/2026











