Politik kotor atau manusia cemarkannya?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa politik itu kotor dan tidak boleh dicampur dengan agama perlu diperbetulkan kerana persepsi berkenaan lahir daripada sikap segelintir manusia, bukan sifat politik itu sendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ungkapan bahawa Islam itu suci manakala politik itu kotor sering kedengaran suatu ketika dahulu, namun hasil penerangan dan pencerahan para ulama, kefahaman itu semakin berubah.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat dalam kalangan masyarakat yang memandang politik dengan persepsi negatif.

“Saya tidak marah kepada mereka yang beranggapan demikian, kerana pandangan itu lahir daripada apa yang mereka lihat sendiri. Mereka melihat ada ahli politik yang tidak jujur dengan amanah.

“Diberi kuasa tetapi mengkhianatinya, janji tidak ditunaikan dan percakapan tidak serupa dengan perbuatan,” ujarnya dalam satu coretan hari ini.

- Advertisement -

Politik dicemar manusia

Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, terdapat juga ahli politik yang dilihat hanya berebut kuasa dan menjaga kepentingan diri serta keluarga, bukan melihat jawatan sebagai amanah dan tanggungjawab.

Akibatnya, katanya, rakyat membuat kesimpulan umum bahawa semua ahli politik adalah sama, seterusnya timbul rasa muak dan kecewa.

“Ramai orang Melayu khususnya, tidak mahu lagi mengambil tahu mengenai politik,” kata beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai.

Mengulas lanjut, Ustaz Idris menimbulkan persoalan sama ada politik itu sendiri yang kotor atau manusia yang mencemarkannya.

Menurutnya, jika dinilai secara jujur dan terbuka, selagi manusia memegang peranan, selagi itu akan ada kelemahan dan kekurangan dalam apa jua bidang.

Perniagaan, pekerjaan kotor?

Beliau memberi contoh dalam perniagaan yang turut berlaku penipuan, janji tidak ditepati, penjualan barang tidak asli pada harga asli, monopoli serta pelbagai bentuk ketidakjujuran.

“Tetapi, adakah kita mengatakan perniagaan itu kotor? Tidak. Kerana berniaga itu sendiri adalah sunnah Nabi SAW. Yang kotor bukan perniagaan, tetapi sikap manusia,” jelasnya.

Ustaz Idris berkata, perkara sama turut berlaku dalam sektor pekerjaan sama ada awam atau swasta apabila wujud budaya lobi-melobi untuk naik pangkat walaupun tidak layak, selain amalan jatuh-menjatuh, dengki-mendengki dan perebutan kuasa dalaman.

“Namun kita tidak mengatakan pekerjaan makan gaji itu kotor. Mengapa apabila tiba soal politik, terus kita label sebagai kotor? Hakikatnya, bukan bidang itu yang kotor. Yang kotor ialah manusia yang tidak berintegriti,” tegasnya.

Politik medan amanah

Beliau menegaskan, politik adalah medan yang sangat penting kerana ahli politik menentukan hala tuju negara.

Katanya, Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah untuk memperoleh kuasa politik bagi mengurus urusan manusia dengan agama, termasuk menggubal dasar percukaian, mengurus kewangan negara serta menentukan dasar pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

Menurutnya, jika golongan baik dan berilmu menjauhkan diri daripada politik, ruang itu akan dipenuhi pihak tidak bertanggungjawab sehingga politik terus dilihat kotor kerana dikuasai individu tidak bermoral.

“Kita tidak akan menemui kesempurnaan selagi manusia yang memegang peranan. Tetapi itu bukan alasan untuk berundur. Kita perlu berusaha membetulkan keadaan,” tegasnya lagi.

Beliau turut memetik kaedah yang diletakkan para ulama, ‘apa yang tidak mampu dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya’.

Ustaz Idris berkata, jika tidak mampu mengubah seluruh sistem sekali gus, perubahan perlu dilakukan setakat yang mampu dan tidak membiarkan keburukan terus membarah tanpa usaha.

“Menyalahkan politik semata-mata bukan penyelesaian. Yang perlu diperbaiki ialah manusia, akhlak, integriti dan kefahaman mengenai amanah.

“Politik bukan kotor secara zatnya. Ia menjadi kotor apabila diisi oleh tangan yang kotor dan akan menjadi bersih, adil serta membawa rahmat apabila diisi oleh mereka yang takut kepada Allah dan memahami bahawa kuasa adalah amanah, bukan keistimewaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -