
KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak untuk menamatkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta-merta demi memulihkan integriti dan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.
Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, beliau memandang serius perkembangan terkini melibatkan Azam yang sekali lagi menimbulkan persoalan besar terhadap tadbir urus dan persepsi awam kepada suruhanjaya itu.
Menurutnya, walaupun pelbagai penjelasan telah dikemukakan sebelum ini, isu yang berulang tersebut hakikatnya telah menghakis keyakinan rakyat.
“Ia mencemarkan nama baik SPRM sebagai sebuah institusi yang sepatutnya berdiri di atas prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.
“Sebagai suruhanjaya yang berperanan menegakkan semangat integriti dalam pentadbiran negara, SPRM tidak boleh dipimpin oleh individu yang terus dibayangi kontroversi, sama ada dari sudut undang-undang mahupun persepsi awam,” katanya.
Beliau menegaskan, dalam soal integriti institusi, persepsi awam adalah sama penting dengan pematuhan teknikal peraturan.
Sehubungan itu, Ismi menuntut langkah tegas diambil bagi membolehkan proses pembaharuan institusi dilaksanakan tanpa sebarang keraguan.
“Saya dengan tegas menuntut agar kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ditamatkan serta-merta, demi menjaga maruah, kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap SPRM.
“Kerajaan Persekutuan juga perlu menunjukkan komitmen politik yang jelas terhadap agenda reformasi institusi dengan memastikan pelantikan kepimpinan SPRM selepas ini dibuat secara telus, bebas dan berintegriti, serta melalui mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa integriti institusi adalah jauh lebih besar daripada mana-mana individu, justeru tindakan berani dan tegas mesti diambil demi masa depan tadbir urus negara.
Terdahulu, Azam dikatakan mempunyai saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Beliau walau bagaimanapun berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya kepada pihak berwajib.
“Saya sudah membuat pengisytiharan berhubung perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semuanya telus,” katanya.
Tambahnya, saham berkenaan dibeli tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tempoh tahun yang sama. – HARAKAHDAILY 13/2/2026











