
KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu sedang merangka beberapa program khusus bagi menggalakkan wanita di negeri ini mempunyai lebih ramai anak susulan penurunan kadar kelahiran yang semakin membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, Terengganu kini menghampiri status negeri tua apabila peratusan warga emas mencecah hampir 15 peratus.
“Bila warga emas mencapai 15 peratus, negeri itu akan diisytiharkan sebagai negeri tua. Terengganu kini sedang bergerak ke arah itu,” katanya pada sidang media selepas program Terengganu Hijab Day 2026 di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini.
Menurutnya, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam program retreat bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPKN) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YBK) baru-baru ini.
Menurutnya, beberapa inisiatif susulan akan dilaksanakan melalui agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan golongan muda mengenai kepentingan membina keluarga besar.
“Insya-Allah kita akan susuli dengan beberapa program melalui YPKN dan jabatan berkaitan supaya lebih ramai orang muda di Terengganu membina keluarga dan mempunyai lebih ramai anak,” katanya.
Maliaman menegaskan, faktor ekonomi bukanlah penyebab utama pasangan masa kini memilih untuk mempunyai anak dalam jumlah kecil, sebaliknya lebih kepada soal kesedaran dan keyakinan terhadap rezeki.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, berdasarkan pemerhatiannya, ramai pasangan yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pendapatan stabil masih memilih untuk mempunyai tiga atau empat anak sahaja walaupun mempunyai kemampuan kewangan yang baik.
“Kalau kedua-duanya bekerja dan berkelulusan tinggi, pendapatan boleh mencecah lima angka. Jadi isu sebenar bukan semata-mata ekonomi, tetapi cara pandang terhadap rezeki dan perancangan keluarga,” jelasnya.
Tambah beliau, trend semasa menunjukkan struktur populasi negeri dan negara semakin membentuk ‘populasi tempayan’, iaitu golongan muda semakin mengecil manakala kelompok usia tua semakin membesar.
“Keadaan itu perlu diberi perhatian serius kerana pertumbuhan penduduk yang seimbang penting bagi menjamin kelangsungan pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.- HARAKAHDAILY 13/2/2026




















