To’ Puan Seri Tuan Faizah terima anugerah tokoh Wanita Inspirasi

To' Puan Faizah (tengah) memegang anugerah Wanita Inspirasi.
- Advertisement -

KUALA NERUS: Isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman, menerima anugerah Tokoh Wanita Inspirasi sempena Program Terengganu Hijab Day 2026 di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

Tuan Roslina Tuan Sulaiman dari Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyifatkan anugerah tersebut layak diberikan kepada Tuan Faizah yang memiliki pelbagai kepakaran antaranya jahitan, masakan, pertanian dan lukisan.

- Advertisement -

“To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman menerima tokoh wanita inspirasi kerana kelayakan beliau yang kami para wanita Terengganu lihat sudah lama sebenarnya.

“Kepakaran itu juga telah dikembangkan ke seluruh DUN negeri Terengganu melalui pelbagai program, termasuk kelas jahitan, pertanian bandar dan siri kelas masakan bergerak ke daerah-daerah.

“Beliau juga merancang membuka kelas lukisan pada masa akan datang bagi mereka yang berminat,” katanya selepas program berkenaan.

Tuan Faizah merupakan Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (KHAIRUNNISA’).

Beliau juga pernah menjadi guru di SMK St Bernadette’s, Convent Batu Gajah, Perak dari 1995 hingga 2001.

Selain itu, beliau merupakan pemilik nurseri Alta Nursery di Besut, pengasas produk Sambal Hitam melalui Projek Ekonomi Muslimat DUN Rhu Rendang, pengasas program Jemari Emas di 32 DUN dalam Terengganu dan pemilik butik Hannah Closet.

Beliau juga aktif dalam aktiviti kebajikan termasuk menyampaikan sumbangan barangan makanan dan minuman kepada pesakit Covid-19 dan petugas kesihatan serta menyumbang peralatan seperti alat pengering lantai dan Pulse Oximeter.

Tuan Faizah juga gemar seni, mampu melukis, menjahit dan menenun beg sebagai hobi. Hasil seni beliau dipamerkan dan dijual di galeri KHAIRUNNISA’ Terengganu.

“Tahniah diucapkan kepada To’ Puan Seri Tuan Faizah. Harapan kami seluruh wanita Terengganu dapat mengambil inspirasi daripada kepakaran dan sumbangan beliau,” kata Tuan Roslina. – HARAKAHDAILY 13/2/2026

- Advertisement -