Tong Keong boleh sabar ke kalau tanahnya diceroboh?

Kaji fakta sebelum keluarkan pandangan mengenai isu binaan haram

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa meneliti fakta kes terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang pandangan berhubung isu pencerobohan tanah dan binaan haram.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian sambil mempersoalkan sama ada individu yang tanahnya dicerobohi sanggup bersabar walaupun sehari, sekiranya berdepan situasi sama.

- Advertisement -

“Soalan saya, jika tanah anda, saudara (Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh) Tong Keong sendiri dicerobohi oleh binaan haram, bolehkah anda bersabar walaupun sehari?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di media sosial miliknya, hari ini.

Kenyataan Ahmad Fadhli tersebut merujuk kepada laporan media tempatan laporan media mengenai Tong Keong yang menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap empat individu yang merobohkan kuil Hindu di Rawang, Selangor, atas alasan kerana perbuatan itu melanggar undang-undang dan menghina agama.

Tong Keong menegaskan bahawa walaupun kuil tersebut didakwa dibina tanpa kebenaran, orang awam tidak berhak merobohkannya sendiri dan sebarang tindakan perlu melalui pihak berkuasa serta perbincangan dengan pengurusan kuil.

Ahmad Fadhli bagaimanapun menegaskan, terdapat beberapa fakta utama dalam kes berkenaan yang perlu difahami.

“Pertama, tanah terbabit mempunyai pemilik yang sah dan tindakan yang diambil adalah atas kebenaran, malah permintaan tuan tanah sendiri.

“Kedua, laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dibuat oleh tuan tanah dan surat turut dikeluarkan oleh PBT yang menegaskan tindakan lanjut perlu diuruskan oleh pemilik tanah,” jelasnya.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas itu, proses berkenaan sudah berlaku bertahun-tahun.

Terdahul, menurut laporan media tempatan, Polis Selangor dalam kenyataannya berkata bahawa empat lelaki telah ditahan selepas sebahagian kuil berkenaan dirobohkan tanpa perbincangan atau pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan. – HARAKAHDAILY 13/2/2026

- Advertisement -