Lubang benam raksasa ‘telan’ persimpangan jalan Shanghai

CAP: Tangkap layar klip video menunjukkan keretakan asfalt, runtuh ke dalam jurang yang dalam tatkala para pekerja yang sedang melarikan diri dari lokasi kejadian di Shanghai, China. (FOTO: X/@Currentreport1)
- Advertisement -

SHANGHAI: Lubang benam raksasa tiba-tiba menelan sebahagian besar jalan raya di Shanghai, China seperti yang ditunjukkan dalam rakaman video tular yang mencetuskan kemarahan konspirasi serta keraguan di tengah-tengah sejarah bandar raya itu dengan peristiwa serupa pernah terjadi sebelum ini.

- Advertisement -

Lubang benam itu, lapor media tempatan, telah ‘menelan’ sebahagian besar jalan raya di lokasi kejadian dengan runtuhan berkenaan dilaporkan berlaku di persimpangan Jalan Qixin dan Jalan Li’an di Daerah Minhang Shanghai pada pagi Khamis, 12 Februari 2026.

“Ia berpunca daripada kebocoran air yang dilaporkan pada hari sebelumnya, Rabu 11 Februari, semasa penggalian terowong perisai untuk Laluan Metro Jiamin baharu di stesen Jalan Qixin,” tambah laporan itu.

Ketika itu, kontraktor dari China Railway Tunnel Group dilaporkan sedang membina laluan tersebut apabila air bawah tanah menembusi tapak sekitar jam 10.30 pagi pada hari Rabu (11 Februari).

Sehubungan itu, syarikat penyelia projek milik kerajaan, Shanghai Shentie Investment Co telah mengeluarkan notis segera pada petang  Khamis yang berbunyi: “Lubang benam tempatan berlaku… tindak balas kecemasan diaktifkan, tiada korban jiwa.

Menurut laporan, rangkaian jalan raya berdekatan lokasi kejadian ditutup tetapi tanah runtuh berlaku semalaman.

Menjelang pagi hari ini, Jumaat (13 Februari) lubang benam besar kelihatan terbuka luas, mencecah berpuluh-puluh meter dan cukup dalam untuk menelan gudang tapak kerja sementara, tiang lampu, dan ketulan turapan.

Sementara rakaman video yang tular menunjukkan retakan berbentuk sarang labah-labah di seberang jalan sebelum tanah runtuh, menghantar kepulan debu ke langit dan para pekerja China Railway Tunnel Group bergegas melarikan diri dari lokasi kejadian.

Sementara, pihak berkuasa tempatan mengesahkan tiada kecederaan atau kematian.

Shanghai Shentong Metro Group pula mengumumkan melalui saluran berita tempatan bahawa zon yang terjejas adalah tapak kejadian yang sama berlaku dari hari sebelumnya, dan ia kini dikepung sepenuhnya untuk siasatan dan pembaikan.

Menurut laporan media juga, kru syarikat pembinaan berkenaan telah menuang konkrit untuk menstabilkannya, dengan pejabat dan pangsapuri berdekatan dikosongkan sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

Sehubungan persoalan mengenai kelemahan tapak yang melatari Shanghai menjelaskan mengapa ini kejadian lubang bebam raksasa itu muncul.

Menurut laporan, ia dibina di atas tanah aluvium Delta Yangtze yang lembut, justeru bandar raya ini menghadapi risiko penurunan kronik daripada pengekstrakan air bawah tanah, pembinaan berat, dan paip yang semakin tua usianya.

Media tempatan, New Beijing News melaporkan, ini bukan kali pertama di lokasi berdekatan kerana runtuhan seluas 10 meter persegi telah berlaku pada Ogos 2023.

Video lubang benam yang disiarkan di X oleh @Currentreport1 sepadan dengan rakaman kamera keselamatan dan orang ramai yang tular di aplikasi Douyin dan Weibo yang kemudsian disahkan laporan secara di lokasi daripada media China. – HARAKAHDAILY 13/2/2026

- Advertisement -