
MOSCOW: Rusia telah mengesahkan bahawa ia telah menyekat aplikasi pesanan segera. WhatsApp di negara itu, dan sebaliknya mengarahkan rakyatnya untuk menggunakan aplikasi Max yang disokong oleh kerajaan.
Berita itu muncul beberapa hari selepas pihak berkuasa Rusia mengehadkan akses kepada Telegram, satu lagi aplikasi pesanan segera yang digunakan oleh berjuta-juta orang di Rusia, termasuk tentera, pegawai awam peringkat tertinggi, perkhidmatan media kerajaan dan badan kerajaan, seperti Kremlin dan Roskomnadzor, serta pengawal selia komunikasi.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, memberitahu wartawan pada lewat Khamis bahawa keputusan untuk menyekat WhatsApp dibuat kerana apa yang beliau sebut sebagai pelanggaran undang-undang oleh syarikat induk aplikasi itu, tanpa mengulas lanjut.
“Max ialah alternatif yang berpatutan di pasaran untuk rakyat, sebuah utusan negara yang sedang membangun.
“Mengenai penyekatan WhatsApp, pihak berkuasa kami memang menyatakan bahawa keputusan itu dibuat dan dilaksanakan kerana keengganan syarikat itu untuk mematuhi undang-undang,” kata Peskov.
WhatsApp dimiliki oleh Meta (META), yang juga memiliki Facebook dan Instagram.
Terdahulu pada Khamis juga, WhatsApp mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa kerajaan Rusia telah ‘cuba menyekat sepenuhnya WhatsApp’ di negara itu, sambil menyifatkannya sebagai usaha untuk ‘memaksa orang ramai menggunakan aplikasi pengawasan milik negara’.
“(Kerajaan Rusia) Cuba mengasingkan lebih 100 juta pengguna daripada komunikasi peribadi dan selamat adalah langkah mundur dan hanya boleh menyebabkan kurang keselamatan bagi orang ramai di Rusia.
“Kami terus melakukan segala yang kami mampu untuk memastikan pengguna sentiasa berhubung,” tambah kenyataan itu.
Laporan media tempatan berkata, sesetengah pengguna di Rusia melaporkan pada Khamis bahawa mereka boleh mengakses WhatsApp menggunakan VPN.
Namun Kremlin, menurut lapotan itu lagi, semakin kerap mengambil tindakan keras terhadap VPN di seluruh negara, termasuk menyekat akses kepada 439 perkhidmatan VPN bagi mengelakkan daripada melanggar sekatan negara.
Pada bulan September tahun lepas, satu undang-undang berkuat kuasa yang melarang pengiklanan VPN dan cara lain untuk memintas sekatan di media sosial.
Ini bukan kali pertama Rusia mengejar aplikasi tersebut, keranna pada Ogos 2025, Roskomnadzor – sebuah agensi persekutuan yang bertanggungjawab memantau dan mengawal media massa negara itu mengumumkan sekatan ke atas panggilan video dan suara melalui WhatsApp dan Telegram ‘untuk menangani penjenayah’.
WhatsApp pula menuduh Rusia cuba menyekat akses kepada aplikasi tersebut untuk pengguna Rusianya.
Terdahulu, Rusia telah pun mengharamkan Facebook, Instagram dan X.
Sementara Max pula ialah aplikasi pemesejan tempatan yang sedang dipasang terlebih dahulu oleh Rusia pada semua peranti baharu sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menggantikan platform asing.
Sama seperti WeChat China, ia direka bentuk sebagai aplikasi super semua-dalam-satu yang menggabungkan pesanan, panggilan, pembayaran dan perkhidmatan lain, yang membolehkan pengguna mengesahkan identiti mereka untuk platform kerajaan yang menyediakan perkhidmatan awam.
Pengkritik telah membangkitkan kebimbangan keselamatan dan privasi tentang Max, memberi amaran bahawa aplikasi tersebut mempunyai keupayaan penjejakan yang berlebihan dan kekurangan penyulitan yang kukuh.
Pada hari Selasa, kerajaan Rusia berkata ia menyekat akses kepada Telegram untuk “perlindungan rakyat Rusia’, menuduh aplikasi tersebut enggan menyekat kandungan yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai ‘jenayah dan pengganas’.
Pengasas aplikasi kelahiran Rusia itu, Pavel Durov, berkata dalam satu kenyataan pada hari itu bahawa percubaan Rusia untuk menyekat Telegram akan gagal, menulis bahawa “Telegram bermaksud kebebasan bersuara dan privasi, tidak kira apa pun tekanannya.”











