
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan tidak wajar diteruskan berikutan ia berpotensi mencetuskan polarisasi berasaskan kaum sekiranya tidak diuruskan dengan cermat, terutamanya di bandar-bandar yang mempunyai komposisi demografi yang tidak seimbang.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, tumpuan sebaliknya perlu diberikan kepada usaha memperkukuh sistem Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedia ada melalui penambahbaikan yang menyeluruh.
“Sejak portfolio Menteri Wilayah Persekutuan diterajui oleh Ahli Parlimen daripada DAP, cadangan untuk mengembalikan semula PRKT kembali menjadi wacana hangat dalam ruang perbincangan awam atas alasan memperkukuh demokrasi di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan bahawa kajian pelaksanaan PRKT termasuk kaedah pelantikan Datuk Bandar dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kata beliau, kajian tersebut dibuat berasaskan keperluan semasa susulan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang pernah dibentangkan oleh seorang Ahli Parlimen Wilayah.
Sementara mengulas lanjut, Mohd Hafez menegaskan, antara hujah yang sering diketengahkan pihak tertentu adalah kononnya pelaksanaan PRKT mampu mewujudkan sistem semak dan imbang yang lebih sihat, di samping memastikan pihak berkuasa tempatan lebih peka terhadap isu setempat.
“Tambahan pula, beberapa bandar antarabangsa seperti New York, London, Bangkok dan Jakarta sering dijadikan contoh bagi menggambarkan keberkesanan model pilihan raya tempatan dalam memperkasakan tadbir urus bandar,” ujarnya.
Namun beliau menegaskan, perbandingan sedemikian wajar diteliti secara lebih mendalam dan tidak boleh dibuat secara simplistik.
“Setiap negara mempunyai latar sejarah, komposisi demografi, kerangka perlembagaan serta dinamika politik yang berbeza, lantas tindakan mengambil model luar tanpa menyesuaikannya dengan realiti tempatan berisiko menimbulkan implikasi yang tidak relevan,” jelasnya lagi.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan sejarah hubungan kaum yang kompleks memerlukan pendekatan yang berhati-hati dalam merangka sebarang pembaharuan institusi.
“Perbincangan mengenai PRKT tidak boleh dipisahkan daripada konteks Perlembagaan Persekutuan, struktur hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, serta kesan langsung terhadap kestabilan pentadbiran.
“Risiko mempolitikkan pentadbiran di peringkat akar umbi juga tidak boleh dipandang ringan. Jika tidak dirangka dengan mekanisme perlindungan yang jelas dan menyeluruh, ia mungkin melemahkan usaha pembinaan negara yang selama ini berteraskan semangat perpaduan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan memfokuskan kepada penambahbaikan aspek prestasi perkhidmatan, tadbir urus, integriti serta kompetensi pengurusan PBT sedia ada.
“Pendekatan tersebut lebih pragmatik dan selamat kerana ia membolehkan reformasi dilaksanakan tanpa menjejaskan kestabilan politik serta keharmonian sosial yang menjadi asas kepada kemakmuran negara,” katanya.- HARAKAHDAILY 13/2/2026











