
KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menggesa kerajaan supaya menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan berani menghadapi suara rakyat tanpa menggunakan tekanan atau intimidasi.
Ketua Penerangannya, Mohd Ridhuan Abdul Karim berkata, penahanan beberapa individu yang terlibat dalam Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), serta laporan mengenai kesukaran akses peguam kepada tahanan, menimbulkan persoalan serius berkaitan pematuhan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
“Himpunan ini diadakan bagi menegakkan undang-undang dan menzahirkan kebimbangan rakyat terhadap isu kepatuhan peraturan, bukan untuk bertembung atau memusuhi mana-mana rumah ibadat yang didirikan mengikut undang-undang dan kelulusan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut beliau, hak rakyat untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dan sebarang usaha menekan atau membungkam suara rakyat hanya menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.
“Sebarang usaha menekan, menakut-nakutkan atau membungkam suara rakyat hanya memperlihatkan kegagalan kerajaan menghormati prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara.
“Kerajaan seharusnya berani berdepan suara rakyat, bukan menggunakan pendekatan intimidasi yang akhirnya merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem perundangan negara.
“Hentikan intimidasi, hormati undang-undang. Jangan khianati demokrasi,” katanya.
Himpunan berkenaan dianjurkan oleh GARAH disertai 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang diadakan di hadapan pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan dua penyelaras GARAH ditahan hadapan kompleks beli-belah Sogo, disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, iaitu Zamri Vinoth dan Tamim Dahri Abdul.
Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dilaporkan sebagai berkata, kedua-dua Zamri dan Tamim turut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Beliau juga memaklumkan bahawa 17 individu yang lain disiasat di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) kerana terlibat dengan perhimpunan tersebut.
Bagaimanapun, dua penyelaras GARAH tersebut telah dibebaskan pada hari Isnin. – HARAKAHDAILY 10/2/2026




















