
KUALA TERENGGANU: Terengganu mencatat pencapaian membanggakan pada tahun 2025 dalam pelbagai sektor termasuk tadbir urus, pelancongan, pendidikan, dan pengurusan bencana.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kejayaan itu hasil daripada komitmen, dedikasi dan kerja berpasukan warga Perkhidmatan Awam Negeri.
“Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu atas komitmen, kesungguhan serta dedikasi yang ditunjukkan sepanjang tahun 2025.
“Sebagaimana diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, pelbagai pencapaian yang direkodkan sepanjang tahun ini membuktikan keupayaan jentera pentadbiran negeri melaksanakan amanah dengan berkesan, berdisiplin dan berintegriti.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan yang konsisten serta budaya kerja profesional yang terus diperkukuhkan, demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Sebagai rekod, antara pencapaian utama termasuk pengurusan Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 secara terancang dan efisien, membolehkan tindakan pantas diambil bagi memastikan keselamatan rakyat.
Dalam sektor pelancongan, Terengganu menerima seramai 8.5 juta pelancong sepanjang tahun, sekali gus mengekalkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan pilihan. Kejayaan ini disokong oleh keunikan produk pelancongan, keindahan alam semula jadi dan layanan mesra rakyat.
Dari aspek kewangan, kerajaan negeri berjaya memperoleh Sijil Audit Bersih (Pendapat Tanpa Teguran) menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2024, mencerminkan pengurusan kewangan yang telus dan berdisiplin. Kutipan hasil negeri juga mencecah RM454.33 juta, rekod tertinggi bagi negeri ini.
Dalam bidang pendidikan , Terengganu terus mencipta kejayaan dengan pencapaian SPM 2024 melepasi Gred Purata Nasional, manakala keputusan STPM mencatat PNGK 3.12, prestasi terbaik selama enam tahun berturut-turut.
“Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan warga pendidik serta sokongan padu pelbagai pihak,” ujar Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Tambahnya, pencapaian itu membuktikan bahawa Perkhidmatan Awam Negeri berada pada landasan tepat dalam memperkukuh tadbir urus, memacu pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri yakin, dengan iltizam dan semangat berkhidmat yang berterusan, Terengganu akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang maju, sejahtera dan dirahmati demi manfaat seluruh rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2026




















