
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di negeri ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan segera kerana ia telah menimbulkan keresahan rakyat sejak sekian lama.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda menegaskan bahawa pembinaan tanpa kebenaran itu turut menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
Menurutnya, Sultan Sharafuddin menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.
“Pendirian tegas Kerajaan Persekutuan adalah selari dengan prinsip dan pendekatan yang sentiasa ditekankan Sultan Selangor iaitu memastikan setiap pembangunan yang dijalankan adalah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dan tadbir urus yang baik.
“Perkara ini juga harus dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, maklum Mohamad Munir statistik pembinaan kuil tanpa kebenaran telah disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin.
Rekod menunjukkan sebanyak 388 kuil dibina di tanah milik kerajaan manakala 299 kuil lagi dibina di atas tanah milik persendirian.
“Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu sekitar 11.3 peratus di Selangor.
“Ia tidak mengambil kira jumlah kuil di seluruh Selangor yang didirikan secara sah serta mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri Selangor,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri sentiasa menekankan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan dan mendapat kelulusan sah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau juga menegaskan, sebarang pembinaan tanpa kelulusan yang melibatkan pencerobohan tanah kerajaan dan persendirian berisiko menimbulkan pertelingkahan antara penganut agama, sekaligus mengancam keselamatan negeri dan negara.
“Kerajaan dan PBT pula diingatkan supaya sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat agar diproses secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Aspek pemantauan juga perlu sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2026











