
SHAH ALAM: PAS Selangor menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri ini, menyifatkannya sebagai panduan berwawasan demi kepentingan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pihaknya berdiri teguh di belakang titah baginda yang menuntut penyelesaian tuntas, adil dan berhemah dalam menangani isu tersebut.
Menurutnya, ketegasan Sultan Selangor mencerminkan peranan penting Institusi Diraja sebagai payung negeri dalam memelihara ketenteraman awam serta mengelakkan polarisasi kaum dan agama.
“Titah Baginda berhubung risiko pencemaran udara dan kawasan tadahan air adalah peringatan asas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Air bersih ialah hak setiap warga Selangor. Dalam konteks Selangor sebagai negeri paling urban dan padat, tanah negeri yang terhad perlu dimanfaatkan secara optimum demi manfaat rakyat terbanyak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan rasmi dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi meneliti kerjasama rantaian bekalan makanan.
Beliau menjelaskan, langkah ini mengambil kira perkembangan di Sarawak yang telah menghantar 800 ekor babi hidup ke Selangor pada Julai 2025.
“Sarawak juga dilihat sedang membangunkan ladang bersepadu berskala besar dengan piawaian biosekuriti yang lebih ketat dan sistem pengurusan sisa yang tersusun,” ujarnya.
Justeru, PAS Selangor menyeru seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang politik dan agama untuk bersatu menghormati titah Sultan Selangor dan bergerak ke hadapan secara matang.
“Marilah kita membina Selangor yang lebih bersih, selamat, berdaya tahan, dan sejahtera di bawah naungan keadilan D.Y.M.M. Sultan Selangor.”
Terdahulu, Sultan Selangor telah menitahkan agar penternakan babi di negeri ini dihentikan sambil menegaskan Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.. – HARAKAHDAILY 10/2/2026











