
KUANTAN: Trend penurunan kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 hingga PRU-15 dilihat sebagai petanda jelas perubahan sokongan rakyat terhadap parti itu.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, berdasarkan rekod keputusan pilihan raya, jumlah kerusi BN mencatat penurunan berterusan iaitu pada PRU12 38 kerusi, PRU13 30 kerusi, PRU14 25 kerusi dan PRU15 17 kerusi.
“Trend penurunan berterusan ini membuktikan bahawa dominasi politik BN di Pahang semakin terhakis dari satu PRU ke satu PRU dan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut tidak lagi seperti dahulu.
Menurutnya, DUN Pahang mempunyai 42 kerusi, dan majoriti mudah ialah 22 kerusi.
“Berdasarkan pola penurunan sokongan terhadap BN dalam empat pilihan raya berturut-turut, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menjangkakan bahawa PAS dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi besar memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi DUN atau lebih pada pilihan raya akan datang, sekali gus membuka ruang kepada perubahan pentadbiran negeri pada PRU 16 kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahmad Azlan, unjuran itu selari dengan perkembangan sokongan rakyat, khususnya pengundi muda, pengundi Melayu luar bandar serta pengundi baharu yang semakin menerima pendekatan politik bersih, stabil dan berintegriti yang dibawa PAS dan PN.
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, ujar beliau, akan terus memperkukuh gerak kerja penerangan dan mobilisasi rakyat bagi memastikan momentum perubahan ini diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya akan datang melalui gagasan Misi Teraju Pahang,” katanya.
“Perubahan politik di Pahang bukan lagi satu kemungkinan jauh, tetapi realiti yang sedang terbina dengan iltizam utuh daripada semua jentera parti. – HARAKAHDAILY 10/2/2026











