
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mendesak Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat susulan laporan terbaharu Bloomberg.
Menurut beliau, laporan Bloomberg itu telah mendedahkan dakwaan baharu berkaitan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Laporan Bloomberg itu menyatakan Tan Sri Azam Baki memegang sebanyak 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd setakat 3 Februari tahun lalu, dengan nilai semasa dianggarkan hampir RM800,000, berdasarkan dokumen syarikat.
“Jumlah pemilikan saham tersebut jauh melepasi had pemilikan yang dibenarkan kepada penjawat awam berdasarkan pekeliling kerajaan yang menetapkan siling sekitar RM100,000 bagi mengelakkan konflik kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Fadhli menyatakan bahawa laporan sama turut membangkitkan kemungkinan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak mematuhi keperluan pengisytiharan aset sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, yang merupakan satu kewajipan asas bagi menjamin ketelusan dalam perkhidmatan awam dan sebelum ini turut menjadi asas siasatan SPRM terhadap pegawai lain.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, isu tersebut bukan bersifat peribadi semata-mata, sebaliknya menyentuh soal integriti institusi penguatkuasaan tertinggi negara dalam memerangi rasuah.
“SPRM adalah badan yang menuntut ketelusan dan akauntabiliti daripada semua pihak, termasuk kepimpinan tertingginya yang juga mesti bebas daripada sebarang keraguan, termasuk dari sudut konflik kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata Perdana Menteri, yang telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Tan Sri Azam Baki beberapa kali, wajar memberikan penjelasan mengenai status sebenar dakwaan pemilikan saham tersebut.
“Ia sama ada melanggar mana-mana pekeliling atau peraturan penjawat awam, status pematuhan terhadap kewajipan pengisytiharan harta serta tindakan yang telah atau akan diambil oleh kerajaan,” jelasnya.
Beliau juga menyatakan isu berkenaan sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi besar dan kini dibangkitkan semula di peringkat antarabangsa, sekali gus menuntut penjelasan yang jelas dan telus.
“Kegagalan memberikan penjelasan hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat serta persepsi dunia terhadap komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah,” tegasnya lagi.
Ahmad Fadhli turut menyatakan kebimbangan apabila laporan Bloomberg itu bukan kali pertama menyentuh soal integriti kepimpinan tertinggi negara, termasuk persoalan sebelum ini terhadap Perdana Menteri, namun tidak pernah dilihat sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap penerbit berkenaan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persepsi awam bahawa pendedahan berkenaan tidak dicabar secara rasmi dan seterusnya menambah keraguan terhadap tahap ketelusan kerajaan dalam menjawab isu integriti.
“Sekiranya kerajaan terus berdiam diri tanpa penjelasan yang telus dan meyakinkan, Tan Sri Azam Baki wajar mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan atau perkhidmatannya ditamatkan serta-merta demi menjaga nama baik SPRM dan integriti institusi negara.
“Jawatan sepenting Ketua SPRM tidak boleh dibayangi keraguan berterusan kerana ia memberi kesan langsung kepada kredibiliti setiap siasatan rasuah di negara ini,” tegasnya.
Sehubungan beliau menyimpulkan bahawa rakyat berhak mendapatkan jawapan yang telus dan integriti institusi negara tidak boleh terus dipersoalkan tanpa penjelasan rasmi daripada kerajaan. – HARAKAHDAILY 10/2/2026











