
MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi N.15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Ustaz Mohamad Anuar Hayan menerima reaksi positif daripada masyarakat pelbagai kaum termasuk India dan Cina.
Mereka memberi isyarat sokongan apabila menyambut kehadiran Ustaz Anuar dengan mesra serta sudi berbual dan berkongsi pandangan dengan beliau khususnya di Taman Tanjung Emas, di sini kelmarin.
Ustaz Anuar menyatakan hasrat untuk membina sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati serta bekerjasama tanpa mengira kaum di kawasan tersebut.
Calon nombor satu itu berkata, perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan dalam usaha membangunkan DUN Maharani secara bersama.
“Saya juga sempat berkongsi bahawa hasrat kita ialah membina sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira kaum di DUN Maharani ini.
“Perbezaan bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan untuk kita membangunkan DUN Maharani bersama-sama,” ujar mantan pensyarah kanan pendidikan guru di Kampus Tun Hussein Onn itu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden GERAKAN, Dominic Lau Hoe Chai, serta seluruh pasukan GERAKAN yang bersama-sama beliau menyantuni masyarakat di Taman Tanjung Emas, di sini.
Menurut Ustaz Anuar, sepanjang tempoh kempen pilihan raya, beliau seperti biasa turun padang bertemu masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Alhamdulillah, sepanjang menyantuni masyarakat sama ada Melayu, Cina mahupun India, penerimaan yang diberikan amat baik. Mereka menyambut kehadiran saya dengan mesra, sudi berbual dan berkongsi pandangan,” ulas Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Muar itu.
Beliau turut menjelaskan bahawa reaksi dan bahasa tubuh kalangan ahli masyarakat yang ditemui memberikan gambaran jelas terhadap penerimaan mereka terhadap kehadiran pasukannya.
“Kadang-kadang, tanpa perlu banyak kata, bahasa tubuh dan reaksi mereka sudah cukup memberi gambaran. Saya dapat rasakan sama ada mereka sekadar meraikan kehadiran kita atau benar-benar memberikan sokongan,” ujarnya.
Tambahnya, perkembangan sepanjang kempen setakat ini adalah positif dan memberikan semangat kepada pasukannya di kawasan tersebut.
“Setakat yang saya lihat, perkembangannya cukup positif dan memberikan semangat kepada kami di DUN Maharani. Ramai masyarakat Cina yang saya temui menerima kehadiran kami dengan baik dan melayan kami dengan penuh mesra,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2026

















