
GAZA: Jumlah kematian akibat serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza telah mencecah 71,851 rakyat Palestin yang terbunuh dan 171,626 individu yang cedera sejak permulaan pencerobohan pada 7 Oktober 2023.
Menurut sumber perubatan Palestin yang dilaporkan Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), dalam tempoh 24 jam yang lalu sahaja, 27 rakyat Palestin terbunuh, dan 18 cedera.
Menurut kenyataan itu, beberapa mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan atau di jalanan, kerana kru ambulans dan penyelamat masih tidak dapat sampai kepada mereka, disebabkan oleh kemusnahan besar-besaran dan ketiadaan bekalan yang diperlukan.
“Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 11 Oktober 2025, jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan Israel telah meningkat kepada 574, dengan 1,518 kecederaan direkodkan, dan 717 mayat pulih,” ujar kenyataan itu.
Sementara WAFA juga melaporkan kenyataan Persatuan Tahanan Palestin (PPS) bahawa lebih 9,300 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel sehingga awal Februari 2026 dan Penjara Israel.
Kenyataan itu berkata, jumlah tahanan tersebut termasuk 56 banduan wanita, yang dua daripada mereka adalah di bawah umur, serta 350 kanak-kanak yang ditahan di penjara Megiddo dan Ofer.
“Data menunjukkan bahawa jumlah tahanan pentadbiran, iaitu mereka yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan, mencecah 3,358 orang, iaitu peratusan tertinggi berbanding banduan yang telah dijatuhkan hukuman, mereka yang ditahan dalam tahanan reman, dan mereka yang diklasifikasikan oleh Israel sebagai ‘pejuang yang tidak sah’,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, jumlah mereka yang diklasifikasikan sebagai ‘pejuang yang tidak sah’ mencecah 1,249 orang.
“Angka ini tidak termasuk semua tahanan Gaza yang ditahan di kem tentera Israel dan diklasifikasikan di bawah kategori yang sama, serta turut merangkumi semua penduduk Arab dari Lubnan dan Syria,” kata kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 6/2/2026




















