Ancaman penyakit sawit: Syor Tabung Bencana Komoditi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian menyarankan kerajaan menubuhkan Tabung Bencana Komoditi bagi menguruskan bantuan krisis penyakit tanaman seperti kelapa sawit dan getah dengan lebih cekap dan sistematik.

- Advertisement -

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penubuhan tabung yang dikendalikan secara berpusat itu penting bagi memastikan penyampaian bantuan, pemantauan serta tindakan susulan terhadap krisis penyakit dapat dilaksanakan dengan pantas.

Beliau hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia Kelima Belas Bilangan 4 Tahun 2026 di Bilik Jawatankuasa 2, Blok Utama, Parlimen Malaysia, semalam.

Mengulas perkara itu, Tuan Ibrahim berkata, walaupun Malaysia sedang giat mempelbagaikan struktur ekonomi, industri kelapa sawit kekal sebagai industri strategik dan penyumbang utama pendapatan eksport negara.

“Nilai eksport minyak dan produk berasaskan sawit dilaporkan sekitar RM95 bilion setahun bagi tempoh 2022 hingga 2024, sekali gus mengesahkan status strategik sektor ini.

“Dengan keluasan tanaman kekal sekitar 5.7 juta hektar dan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) dianggarkan mencecah 20 juta tan pada tahun 2025, Malaysia terus berada dalam kelompok pengeluar dan pengeksport minyak sawit terbesar dunia,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, selain menyumbang kepada ekonomi negara, industri ini menjadi sumber rezeki ratusan ribu pekebun kecil.

Namun, hasil lawatan dan pertemuan beliau dengan rakyat khususnya di sepanjang laluan Jengka, Pahang hingga ke Kemaman, Terengganu mendapati terdapat kebimbangan serius terhadap keadaan ladang yang terjejas.

Jelasnya, di beberapa ladang, pelepah pokok kelihatan seolah-olah terbakar dan daun mengalami kerosakan ketara akibat serangan alga parasit yang dikenali sebagai penyakit Algal Leaf Spot (ALS).

“Penyakit ini menyebabkan kematian tisu daun, seterusnya mengakibatkan daun gugur dan menjejaskan keupayaan fotosintesis pokok. Jika tidak dikawal dengan berkesan, ALS berpotensi menurunkan produktiviti ladang dalam jangka panjang,” ujarnya.

Tambah beliau, industri ini turut berdepan ancaman penyakit utama lain seperti Reput Pangkal Batang (RPB) dan Reput Batang Atas (RBA) yang berpunca daripada kulat Ganoderma, sebagaimana dimaklumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Katanya, penyakit-penyakit ini menyebabkan pokok menjadi lemah, tidak produktif dan akhirnya mati, sekaligus menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Justeru, beliau mendesak agar usaha kawalan dan penyelidikan ditambah baik demi kelangsungan industri sawit negara.

“Kerajaan perlu memperkukuh sokongan penyelidikan, memperluas latihan serta khidmat nasihat kepada pekebun kecil, dan memastikan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) kawalan penyakit dijalankan secara konsisten di peringkat ladang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/2/2026

- Advertisement -