Guna kalimah Islam tanpa batasan: Tipu daya, menghina

‘Sujud syukur’, ‘Alhamdulillah’, ’solat hajat’ kepada siapa?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan bahawa setiap ucapan zikir dalam Islam adalah lambang kebesaran dan keagungan Allah SWT serta kalimat yang sangat dimuliakan dalam agama.

Beliau berkata, teguran Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming adalah wajar dan berasas.

Menurutnya, ia bukan larangan mutlak, sebaliknya kebimbangan terhadap kemungkinan penggunaan kalimah tersebut sebagai tipu daya sehingga boleh mengelirukan umat Islam.

Jelasnya, persoalan dibangkitkan apabila Nga Kor Ming menggunakan kalimah ‘Alhamdulillah’, melakukan sujud syukur dan lafaz berkaitan, sedangkan beliau sendiri tidak beriman kepada Allah SWT.

“Adakah dia sedar makna sebenar di sebalik apa yang diungkapkan? Lafaz ‘Alhamdulillah’ yang dirujuk itu, Allah SWT yang mana? Adakah Allah yang Esa atau Allah yang ada sekutu?” soal Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah turut mengingatkan bahawa sebelum ini Nga Kor Ming juga pernah menggunakan istilah taubat dan solat hajat ditujukan kepada umat Islam.

Beliau menegaskan, tindakan Dato’ Siti Zailah bukan didorong emosi, sebaliknya perasaan yang akan turut dirasai oleh mana-mana umat Islam apabila kalimat agung di sisi agama Islam seolah-olah dipermainkan dan tidak digunakan sebagai lafaz membesarkan Allah SWT.

“Kepada siapa puji-pujian yang terkandung dalam lafaz ‘Alhamdulillah’ tersebut? Kepada siapa sujud syukur itu dipersembahkan? Nga Kor Ming nampaknya tidak pernah serik dan menggunakannya tanpa batasan,” tempelaknya.

Menurut beliau, penggunaan kalimah-kalimah dalam syariat Islam secara sewenang-wenangnya, termasuk menterjemah ayat al-Quran tanpa memahami makna sebenar, adalah suatu bentuk penghinaan terhadap agama Islam.

Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan bahawa, perkara itu adalah pendirian Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2010.

Beliau menjelaskan, Jawatankuasa Fatwa tidak melarang secara mutlak penggunaan kalimah tersebut oleh bukan Islam, namun ia mesti dilakukan secara tertib dan tidak membawa kepada penyalahgunaan.

“Oleh itu, Nga Kor Ming tidak perlulah asyik melanggar batasan yang ada. Lafaz itu adalah hak eksklusif umat Islam. Untuk kamu agamamu, untuk kami agama kami,” tegurnya.

Sujud syukur

Peguam, Dr Yusfarizal Yussoff pula berkata, beliau secara prinsip tidak mempunyai masalah sekiranya bukan Islam menyebut beberapa perkataan Bahasa Arab atas dasar menghormati, termasuk memetik ayat al-Quran untuk mengambil pedoman yang baik.

Menurutnya, perkara itu boleh dilihat sebagai minat dan kekaguman terhadap ayat al-Quran dan sabda Rasulullah SAW serta mungkin menjadi permulaan kepada terbukanya pintu hidayah.

Namun, beliau mengakui keliru apabila Nga Kor Ming menyatakan mahu melakukan ‘sujud syukur’ kerana tidak pasti sama ada ia bertujuan menghormati, mengadaptasi atau strategi politik.

“Saya juga tidak pasti apakah ada ritual ‘sujud syukur’ dalam agama beliau,” bidasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS.

Dr Yusfarizal berkata, beliau kurang memahami bentuk ‘sujud syukur’ yang dimaksudkan dan memohon penjelasan daripada Nga Kor Ming berhubung perkara itu.

“Saya cadangkan kepada beliau untuk lebih padu, Nga buat video ‘sujud syukur’ beliau tu macam mana, baru kita akan lebih terpesona. Sebelum ini pun, Nga cakap nak buat solat hajat. Jangan main cakap saja. Ini perkara ritual agama

“Ini perkara ritual agama. Kalau DJ (penyampai radio) Era sebut ‘vel vel’ pun dah kena mengadap mohon maaf di Batu Caves. Inikan pula sebut amalan agama Islam seperti ’sujud syukur’ dan ‘solat hajat’. Berhati-hatilah. Jagalah perasaan sesama kita,” tegurnya. – HARAKAHDAILY 5/2/2026

- Advertisement -

- Advertisement -