Sensitiviti boleh jejas keharmonian kaum, kestabilan negara

Pilihan Raya Datuk Bandar atau PBT

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS mempersoalkan tujuan sebenar kerajaan melaksanakan kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengenai cadangan pelaksanaan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk inisiatif dibuat Kementerian Wilayah Persekutuan itu berkata, perlu disedari bahawa sebarang perubahan dalam sistem pemilihan pemimpin tidak boleh lari dari realiti demografi kaum.

Beliau berkata, jika perkara itu diabaikan, ia boleh memberi impak domino besar terhadap kestabilan negara yang mempunyai struktur sosial kompleks, di mana keseimbangan kaum merupakan kunci paling utama kepada keharmonian.

“Bila Menteri Wilayah mencadangkan untuk buat kajian Pilihan Raya PBT, walaupun dia kata ini bukan pilihan raya, tetapi kajian sahaja, ya untuk apa kajian ini dan kita mesti memahami sensitiviti masyarakat kita.

“Kenapa orang Melayu bantah ternakan babi di Bukit Tagar Selangor? Sebab majoriti penduduknya adalah Melayu, kita ada sensitiviti masing-masing, memang Islam tidak larang orang bukan-Islam makan itu hak dia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi ceramah umum isu semasa di Markaz PAS Kawasan Seremban malam tadi yang dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa dan Timbalannya, Kamarol Ridzuan Mohd Zin.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, pembentukan kepelbagaian kaum di Malaysia berkait rapat dasar British semasa zaman penjajahan iaitu membawa masuk tenaga kerja, sekali gus mengubah struktur sosial rakyat secara mendalam.

Menurutnya penjajah meninggalkan negara dengan masalah yang sengaja ditinggalkan untuk terus menjadi masalah perlu diuruskan dan diberikan perhatian dengan sebaik mungkin agar tidak menjejaskan kestabilan kaum.

Beliau berkata, menerusi dasar pecah dan perintah British memisahkan kaum mengikut penempatan dan fungsi ekonomi seperti Melayu dikekalkan di kawasan luar bandar, Cina di kawasan bandar dan India di ladang getah.

“Kita sekarang ada masalah penternakan babi di Pulau Pinang, sampai hari ini masih tak selesai. Maknanya ada rasional sensitiviti itu dijaga kerana penjajah meninggal negara kita dengan masalah sengaja ditinggalkan.

“Ia kekal menjadi polemik kalau kita tidak urus dengan baik, kita menerima masyarakat India dan Cina sebagai rakyat Malaysia yang hidup dengan harmoni dalam sebuah negara dan masyarakat yang berbilang kaum,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/2/2026

- Advertisement -