Penganjur acara diingatkan elak isu tular berulang

Susulan insiden di Konsert Makar Fest XL

Dr Mohamed Fadzli ketika mengadakan pertemuan dengan penganjur Konsert Makar Fest XL.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengingatkan semua penganjur acara agar lebih bersedia dalam menangani sebarang situasi bagi mengelakkan isu tular berulang, khususnya insiden membabitkan penonton menari ketika konsert Makar Fest XL di Tunjung, di sini, Sabtu lalu.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejadian tersebut wajar dijadikan iktibar dan pedoman bersama selain menegaskan semua pihak perlu memikul tanggungjawab dan bukan sekadar memerhati untuk mencari kesalahan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur Makar Fest 2026, Issey Fazlisham atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin yang disifatkan berjiwa besar apabila hadir bertemu beliau sebagai wakil kerajaan negeri bagi memohon maaf serta menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.

“Saya dimaklumkan pihak penganjur telah berusaha sedaya-upaya mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

“Namun, masih terdapat segelintir pihak yang bertindak di luar kawalan. Kasihan apabila penganjur terpaksa menanggung risiko disebabkan ada yang tidak memahami atau menghormati peraturan serta nilai setempat. Jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Menurut beliau lagi, Kelantan sentiasa menjadi tumpuan umum dan bukan mudah untuk memastikan semua acara berjalan sepenuhnya mengikut peraturan walaupun garis panduan sering diingatkan.

Katanya, undang-undang yang digubal berfungsi sebagai panduan dan sempadan, namun hakikatnya tidak semua pihak mematuhi peraturan tersebut.

“Semua pihak mesti mengambil tanggungjawab. Setiap kesilapan yang berlaku perlu dijadikan pengajaran agar tidak berulang pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan dasar kerajaan Kelantan berkaitan penganjuran acara hiburan yang tidak bersifat melarang, sebaliknya menyediakan alternatif bersesuaian dengan dasar Membangun Bersama Islam serta nilai dan adat budaya tempatan.

Beliau juga menyatakan, Makar Fest yang telah dianjurkan di pelbagai negeri memberi ruang kepada anak muda untuk menjalankan aktiviti ekonomi serta mengetengahkan budaya rakyat Kelantan.

“Ia juga menjadi medan pertemuan anak-anak Kelantan di perantauan untuk berhimpun dan berukhuwah. Ini merupakan usaha yang baik dan wajar diberikan sokongan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri mendapati berlaku pelanggaran syarat dan garis panduan semasa penganjuran Makar Fest XL, khususnya melibatkan perlakuan penonton ketika konsert penutup.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah dilaporkan sebagai berkata pelanggaran tersebut berlaku semasa persembahan kumpulan Kugiran Masdo sekitar jam 10.30 malam. –HARAKAHDAILY 6/2/2026

- Advertisement -