
TEHRAN: Iran membuka semula ruang udaranya awal Khamis selepas penutupan sementara hampir lima jam yang mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan syarikat penerbangan antarabangsa, ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat terus memuncak susulan ancaman campur tangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS).
Sekatan ruang udara tersebut, yang berakhir pada jam 3:30 pagi waktu tempatan (10:30 malam waktu Pantai Timur AS pada Rabu) menurut laporan Tehran Times, telah menghentikan kebanyakan penerbangan masuk dan keluar dari Iran, sekali gus menjejaskan operasi penerbangan serantau dan laluan antarabangsa yang bergantung kepada ruang udara negara itu.
Walaupun pihak berkuasa Iran mengumumkan pembukaan semula ruang udara, data langsung daripada penjejak penerbangan FlightRadar24 menunjukkan kebanyakan pesawat komersial masih mengelak daripada melalui ruang udara Iran setakat jam 4 pagi waktu tempatan.
Keadaan ini menggambarkan tahap kebimbangan tinggi industri penerbangan terhadap ketidaktentuan keselamatan yang berterusan di rantau tersebut.
Beberapa penerbangan domestik dilaporkan mula beroperasi semula, namun penerbangan antarabangsa ke dan dari Tehran hanya dibenarkan dengan kelulusan awal pihak berkuasa penerbangan awam Iran.
Langkah itu mencerminkan pendekatan berhati-hati Tehran dalam suasana ancaman luar yang belum reda.
Walaupun ruang udara Iran kini dibuka semula, situasi keselamatan di Asia Barat kekal rapuh. Tekanan geopolitik, ancaman ketenteraan dan campur tangan kuasa besar terutama AS terus membayangi kestabilan serantau, dengan keselamatan awam dan kepentingan ekonomi global berdepan risiko yang berpanjangan.
Terdahulu, penutupan sementara ruang udara Iran berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump, mengeluarkan kenyataan berunsur ancaman untuk campur tangan susulan tindakan keras kerajaan Iran terhadap protes anti-kerajaan di negara Republik Islam itu.
Trump menurut laporan media Barat sebelum ini secara terbuka mendakwa beliau bersedia untuk ‘datang menyelamatkan’ rakyat Iran jika keganasan berterusan, satu kenyataan yang dilihat mencampuri urusan dalaman sebuah negara berdaulat.
Dalam masa yang sama, AS dilaporkan telah mula memindahkan sebahagian kakitangan serta peralatan ketenteraannya dari beberapa pangkalan di Timur Tengah.
Langkah tersebut lazimnya dikaitkan dengan persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan ketegangan keselamatan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap risiko eskalasi ketenteraan di rantau Asia Barat.
Iran pula dilaporkan sebelum ini telah memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas wilayahnya akan dibalas dengan tindakan terhadap kepentingan AS di rantau tersebut, meletakkan kedua-dua pihak dalam kedudukan saling berhadapan yang berisiko mencetuskan konflik lebih besar.
Bagaimanapun, laporan media Barat berkata Trump kemudiannya dilihat melembutkan pendiriannya.
Dalam ucapan di Rumah Putih pada Rabu malam, beliau mendakwa telah menerima jaminan bahawa pembunuhan penunjuk perasaan di Iran telah berhenti dan menyatakan AS sebaliknya akan ‘memerhati dan melihat’ sebelum mengambil sebarang tindakan ketenteraan lanjut.
Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak sepenuhnya meredakan kebimbangan komuniti antarabangsa.
Menurut laporan media antarabangsa, ketegangan ini memberi kesan langsung kepada industri penerbangan global. Beberapa syarikat penerbangan utama telah membatalkan atau mengubah laluan penerbangan bagi mengelak ruang udara Iran.
Syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo, mengesahkan pada Khamis bahawa beberapa penerbangan antarabangsa mereka terjejas akibat penutupan sementara ruang udara Iran.
Awal minggu ini, kerajaan Jerman mengeluarkan amaran kepada syarikat penerbangannya agar tidak memasuki ruang udara Iran.
Kumpulan Lufthansa pula mengumumkan pada Rabu bahawa ia akan terus mengelak ruang udara Iran dan Iraq sehingga diberitahu kelak, dengan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan.
AS pula turut mengharamkan semua penerbangan komersial Amerika daripada terbang melepasi ruang udara Iran.
Sementara itu, syarikat penerbangan antarabangsa lain termasuk Emirates, Qatar Airways dan Turkish Airlines dilaporkan telah membatalkan beberapa penerbangan ke Iran sejak seminggu lalu.
Terdahulu, pergolakan semasa berpunca daripada gelombang protes yang tercetus lewat tahun lalu selepas mata wang Iran, rial yang menjunam ke paras terendah, sekali gus dikatakan memburukkan krisis kos sara hidup rakyat.
Protes yang pada awalnya bersifat ekonomi kini berkembang menjadi penentangan lebih luas terhadap pemerintahan teokratik negara tersebut.
Kumpulan Hak Asasi Manusia HRANA yang berpangkalan di AS mendakwa sekurang-kurangnya 2,571 orang terkorban setakat ini akibat pertempuran dan tindakan keras pihak keselamatan.




















