Isu papan tanda: Premis niaga pinggir Bahasa Melayu

DBP desak tindakan tegas PBT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pemilik premis perniagaan yang dilihat masih tegar meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda premis mereka.

DBP dalam satu kenyataan menegaskan, isu yang kembali tular dalam media sosial baru-baru ini jelas menunjukkan masih ada pihak yang sengaja melanggar peraturan ditetapkan serta mencabar kedaulatan bahasa rasmi negara demi kepentingan perniagaan.

- Advertisement -

Menurut kenyataan tersebut, tindakan mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan merupakan satu bentuk pelanggaran nyata terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan tunggak jati diri negara.

​“DBP ingin mengingatkan semua pihak bahawa penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan dan papan premis perniagaan bukan satu pilihan, tetapi merupakan satu kewajipan yang perlu dipatuhi oleh setiap pengusaha.

​“Mengikut peraturan sedia ada di bawah Undang-Undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bahasa kebangsaan mestilah dipaparkan secara jelas dengan saiz tulisan yang lebih besar dan diletakkan pada kedudukan yang lebih utama berbanding bahasa lain,” kata kenyataan itu.

​Namun, pihak DBP mendapati masih ada pemilik premis yang memberikan keutamaan kepada bahasa asing sehingga membelakangkan jati diri kebangsaan, satu sikap yang tidak boleh diterima sama sekali.

​Susulan kegagalan berulang dan sikap remeh segelintir pihak terhadap teguran sebelum ini, DBP mendesak semua PBT agar mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling keras dan menyeluruh dengan segera.

​“Tiada lagi ruang rundingan atau tempoh nasihat harus diberikan kepada pemilik premis yang telah terbukti melanggar syarat lesen iklan mereka.

​“Pendekatan nasihat dan bimbingan yang diberikan selama ini telah diremehkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegas kenyataan itu lagi.

​DBP turut menyeru kerjasama orang ramai agar terus melaporkan sebarang pelanggaran bahasa yang dikesan di kawasan awam bagi membolehkan tindakan tegas diambil.

​Dalam pada itu, DBP melalui perkhidmatan ‘DBP Sah Bahasa’ sentiasa bersedia memastikan setiap penggunaan bahasa pada iklan adalah tepat dan mematuhi piawaian tanpa menjejaskan kreativiti perniagaan.

​“Memartabatkan bahasa kebangsaan merupakan tanggungjawab semua pihak sebagai tanda hormat kepada kedaulatan undang-undang dan maruah negara kita yang merdeka,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026

- Advertisement -